Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 1 OGOS 2022 : Kerja-kerja pemulihan kawasan yang terjejas di Tasik Chini yang diusahakan oleh Kerajaan Pahang telah mencapai hampir 80 peratus.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan tersebut bukan sahaja hasil usaha Jabatan Perhutanan Negeri Pahang tetapi turut melibatkan Orang Asli yang membantu menyemai anak pokok hutan untuk ditanam di tasik berkenaan.
“Patik pacal-pacal sekalian akan berusaha sehabis baik bagi memastikan status Rizab Biosfera UNESCO yang dipegang Tasik Chini sejak tahun 2009 akan terus kekal, InsyaaAllah.

“Selain itu, patik mohon menyembah maklum kesisi Kebawah Duil Yang Maha Mulia Tuanku, bahawa ketika ini Negeri Pahang mempunyai keluasan Hutan Simpan Kekal seluas 1.59 juta hektar, termasuk 343,678 hektar daripadanya merupakan Hutan Tadahan Air serta mengekalkan kawasan berhutan seluas 2.04 juta hektar iaitu mewakili 57 peratus daripada luas kawasan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berucap pada Ikrar Taat Setia Mewakili Wakil-Wakil Rakyat, Pegawai-Pegawai Kerajaan, Badan Berkanun dan Rakyat Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar di Pekan.
Pada istiadat itu, seramai 99 individu telah dikurniakan darjah dan pingat kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau berkata, kerajaan akan memastikan khazanah alam di Pahang akan terus dilindungi termasuk flora, fauna dan hidupan liar selaras dengan penerapan amalan ESG iaitu alam sekitar, sosial dan tadbir urus dalam setiap proses pembangunan di negeri ini.
Kerajaan Pahang juga akan memastikan spesies Harimau Malaya terus hidup dan membiak di negeri ini dengan melakukan pelbagai inisiatif, bagi melindungi spesies yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. – PAHANGMEDIA