Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

LEBIH AGRESIF PULIHARA TASIK CHINI – KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 1 OGOS 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Kerajaan Pahang supaya lebih agresif dalam usaha memastikan Tasik Chini dapat dipulihara dan dihijaukan semula.

Baginda mahu kegemilangan Tasik Chini ini dikembalikan semula dengan peranan asalnya yang memanfaatkan penduduk sekitar malah fungsi semulajadinya sebagai biosfera akan kekal lestari.

“Justeru, saya bertitah pajakan lombong yang telah tamat tempoh hendaklah ditamatkan dan kawasan tersebut perlu dihijaukan dalam masa terdekat.

“Saya juga menyokong langkah morotarium yang telah diambil oleh kerajaan saya di kawasan tersebut,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Pahang Darul Makmur sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-63 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar di Pekan.

Baginda turut bertitah, agensi dan badan penguatkuasaan perlu memainkan peranan masing-masing secara serius agar tiada lagi kejadian memasuki hutan tanpa kebenaran, pencurian hasil hutan, aktiviti pemburuan haram dan menangkap ikan terlarang menggunakan bom, racun atau renjatan elektrik.

Sehubungan Baginda Tuanku juga akan terus melaksanakan Siri Jelajah Ziarah Kasih ke kampung-kampung Orang Asli, Orang Melayu, Cina atau pun India untuk meninjau sendiri, ambil peduli dan membantu rakyat sedaya mungkin.

“Saya tidak ingin sama sekali melihat dan diberitahu jalan berlubang baru hendak dibaiki, atap bocor baru hendak ditampal, kesan lumpur banjir pada dinding baru hendak dicuci dan dicat mahu pun bantuan fakir miskin baru nak sampai sehari sebelum ketibaan saya.

“Ingatlah, segala jenis bantuan harus sampai segera kepada rakyat saya tanpa birokrasi yang rumit,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan agar kemuliaan dunia yang dikurniakan tidak menjadi modal untuk bersombong, beriyak dan berangkuh sebaliknya berjasa dan berbaktilah kepada golongan lemah dan memerlukan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram