Oleh: Mahathir Ali
KUANTAN, 29 JULAI 2022 : Rangkaian 1PahangNet merupakan salah satu komponen utama dalam pembangunan teknologi maklumat di Negeri Pahang dan menjad nadi kepada sistem komunikasi Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dan agensi serta jabatan di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, rangkaian ini terletak di bawah pengurusan Bahagian Teknologi Maklumat, Pejabat SUK Pahang dan menghubungkan Pejabat SUK Pahang dengan 60 lokasi pejabat kerajaan lain di seluruh Pahang.

“Rangkaian 1PahangNet merupakan rangkaian komunikasi bersepadu yang menjadi nadi kepada sistem komunikasi Pejabat SUK Pahang dan agensi serta jabatan di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah 1PahangNet 2022 sempena Bengkel Pengurusan Strategik Transformasi Digital 1PahangNet 2022 di Grand Lexis Hotel, Port Dickson.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian Teknologi Maklumat, YH. Dato’ Shuhairi Abd Ghani dan Vice President TM One Malaysia Encik Mohamed Faisal Naina Mohamed.
Sementara itu, beliau berkata, seramai 60 peserta terdiri daripada penyelia terlibat rangkaian 1PahangNet, Jabatan Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai dari Pejabat SUK Pahang yang juga Ahli Jawatankuasa Mesyuarat Pengguna 1PahangNet dan Webmel Pahang terlibat dalam bengkel selama tiga hari ini.
“Anugerah 1PahangNet pula bertujuan memberi pengiktirafan kepada jabatan-jabatan pengguna rangkaian 1PahangNet yang sentiasa memberi kerjasama dan komitmen dalam memastikan penggunaan rangkaian sentiasa dioptimumkan dan dalam keadaan baik. Syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah,” katanya. – PAHANGMEDIA