Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 27 JULAI 2022 : Kerajaan Pahang telah menghantar laporan berkaitan pelan terperinci mengenai Rizab Biosfera Tasik Chini kepada Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata pihak Kerajaan Pahang kini sedang menunggu keputusan daripada pihak UNESCO berkaitan status rizab biosfera di kawasan berkenaan.

“Tasik Chini ini sebenarnya kita telah pun menghantar report dan semua perkara-perkara yang diminta untuk pastikan bahawa kita akan comply apa yang perlu dibuat.
“Jadi itu tunggu nantilah keputusan daripada pihak UNESCO. Kita dah hantar dah (laporan) sebab ia kerjasama dengan Kerajaan Pusat juga.
“Tapi laporan tu semua kita dah bagi. Apa-apa yang perlu untuk tambahbaik itu, semua kita dah buat. InsyaAllah. Jadi kira cuma tunggu untuk keputusan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media pada Majlis Pelancaran Pahang Ocean Paddle International Challenge di Kuantan 188, di sini hari ini.
Turut hadir, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali; Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Stagemaker Sdn. Bhd., Encik Emir Abd Jalal; dan Presiden Persatuan Sukan Kanu Negeri Pahang, Encik Mohd. Nazir Mohamad Sakari. -PAHANGMEDIA