Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyempurnakan Majlis Pemasyhuran UnIPSAS di Auditorium Tuanku Canselor, UnIPSAS

JADIKAN UNIPSAS INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI ISLAM TERUNGGUL – KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 25 JULAI 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) perlu dijadikan institusi pengajian tinggi Islam terunggul di negara ini.

Baginda bertitah, ini kerana UnIPSAS membawa nama Islam yang menjadi teras utama pengajian dan juga keistimewaan utama universiti ini.

“Menerusi pemasyhuran UnIPSAS sebagai sebuah universiti, beta berkeyakinan bahawa nama UnIPSAS akan semakin dikenali bukan sahaja di Negeri Pahang, malahan di seluruh negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyempurnakan Majlis Pemasyhuran UnIPSAS di Auditorium Tuanku Canselor, UnIPSAS

“Pengiktirafan ini sudah pastu bakal membawa UnIPSAS sebagai sebuah universiti yang berwibawa dalam bidang pengajian berteraskan agama Islam.

“Beta ingin berpesan kepada paduka anakanda Pemangku Raja Pahang, (Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah) selaku Canselor UnIPSAS dan juga kepada seluruh barisan kepimpinan dan ahli-ahli lembaga pengarah, untuk terus menjaga dan berusaha untuk memajukan UnIPSAS agar namanya terus tersohor di seluruh negara sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang terunggul di negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Pemasyhuran UnIPSAS di Auditorium Tuanku Canselor, di sini, hari ini.

Turut mengiringi keberangkatan baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Turut sama berangkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; dan YAM Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Naib Censelor UniPSAS, YH. Professor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Baginda turut melahirkan rasa syukur dengan penubuhan akademi hadis UnIPSAS pada 21 Jun 2019 yang disifatkan sebagai benteng dalam menjaga akhlak dan moral ummah.

“Dalam kita meniti arus pemodenan dunia yang serba mencabar, institusi pengajian tinggi Islam adalah merupakan benteng dalam menjaga akhlak dan moral demi untuk melahirkan ummah yang kuat.

“Bagi mencapai hasrat tersebut, beta berasa amat bersyukur dengan penubuhan akademi hadis UnIPSAS pada tanggal 21 Jun 2019 yang lalu.

“Akademi yang lahir dari cetusan idea beta ini diharap akan dapat membudayakan pengajian hadis secara sistematik dalam kalangan masyarakat di negeri Pahang dan juga di negara Malaysia ini,” titah baginda.

Baginda turut melahirkan rasa bangga melihat tulisan jawi terus mendapat tempat dan semakin diperkasakan di seluruh negeri ini melalui penubuhan institut jawi UnIPSAS.

“Manakala penubuhan institut jawi UnIPSAS pada Februari 2020 telah menjadi pemangkin kepada pemerkasaan penggunaan tulisan jawi di negeri Pahang.

“Semenjak penubuhannya, institut jawi UnIPSAS menjadi pusat rujukan kepada semua pihak khususnya dalam menyemak ketepatan ehaan dan penggunaan tulisan jawi,” titah baginda.

Sementara itu, majlis juga menyaksikan Seri Paduka Baginda mewasalkan watikah perlantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang selaku Cancelor UniPSAS dan pengurniaan watikah pelantikan kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta YAM Tengku Panglima Raja selaku Pro-Canselor I dan Pro-Canselor II UniPSAS. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram