Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 21 JULAI 2022 : Kerajaan menyasarkan pertambahan sebanyak hampir 40,000 syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) yang memiliki sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelang tahun 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC), Encik Hairol Ariffein Sahari berkata, pihaknya merekodkan hanya 10,000 syarikat yang memiliki sijil halal setakat ini.
“Menjelang tahun 2030 kami berharap untuk ada lebih kurang 40,000 hingga 50,000 syarikat yang ada sijil halal oleh JAKIM.

“Berdasarkan data yang kami terima daripada SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) di Malaysia pada ketika ini ada lebih kurang 1.3 juta syarikat yang berdaftar. Daripada jumlah tersebut, 200,000 adalah dalam perniagaan berkaitan halal.
“Daripada jumlah 200,000, lebih kurang, kurang daripada 10,000 yang ada sijil halal JAKIM. Jadi di luar sana ada lebih kurang 190,000 lagi perniagaan berkaitan halal yang masih belum memiliki sijil halal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Jelajah Halal Malaysia 2022 – Pahang Darul Makmur di Hotel Grand Darul Makmur di sini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman yang merasmikan program mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata persepsi kebanyakan syarikat berkaitan proses mendapatkan sijil halal adalah sukar dan mahal tidak benar sama sekali.

“Pertama dari segi kos, untuk mendapatkan sijil halal hanya perlu membayar RM400 sehingga RM500 sahaja kepada JAKIM. Tapi kos untuk mematuhi persijilan halal itu yang sebenarnya agak tinggi kerana semestinya untuk kita mematuhi sesuatu standard akan terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan kepada kilang dan juga premis,” katanya.
Sementara itu, menurut YB. Dato’ Sri Norolazali, Kerajaan Pahang mengambil pendekatan menyeluruh dalam membangunkan produk halal .
“Ini melibatkan kesedaran, pendidikan, pembangunan dan juga penguatkuasaan bagi memastikan kita ada satu proses yang mampan dan berterusan. Wajar untuk Negeri Pahang untuk kita membangunkan leading agency untuk memastikan industri ini berkembang dengan baik sesuai dengan kewujudan Gambang Halal Park yang kita ada,” katanya. -PAHANGMEDIA