Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PULAU PINANG, 21 JULAI 2021 : Dakwaan yang dikongsikan di media sosial berkenaan tindakan dua Ahli Dewan Negeri (ADN) Pahang yang dikatakan mengejek ADN Ketari yang membangkitkan isu kahwin bawah umur dalam Sidang DUN pada tahun 2018 jelas bermodalkan politik semata-mata.
Perkara berkenaan disuarakan salah seorang ADN yang terlibat iaitu YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang menegaskan bahawa ia tidak seperti yang diandaikan sesetengah pihak yang memikirkannya secara negatif.
“Ini gimik orang politik, soalan itu timbul kerana ada isu seorang lelaki yang dah berusia 40 tahun dan budak perempuan umur 11 tahun saling berkenan dan nak kahwin.
“YB Ketari tanya apakah sikap kerajaan negeri (terhadap isu itu) sedangkan Pahang sama dengan negeri lain… YB Ketari tahu seluruh Malaysia ada enakmen yg telah ditetapkan had umur minimum boleh berkahwin, kalau tak sampai umur kena mintak kebenaran mahkamah. Itu semua orang tahu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan isu timbul melibatkan dirinya di laman sosial Twitter beberapa hari lalu.
Dalam pada itu beliau berkata perkara berkenaan boleh dinilai orang ramai dengan baik kerana ia telah termaktub di dalam undang-undang.
“Ada kelonggaran yang diberikan mahkamah melalui prosedur, jadi ikut sahajalah tapi dia mulakan isu kononnya kita nak persendakan dia. Terserahlah kepada mereka dan orang ramai boleh menilai.
“Ia adalah motif politik, kononnya saya nak persendakan budak-budak ni nak suruh kahwin awal.. bukan, tidak begitu. Kita hanya menjawab bagi pihak orang yang memohon nak kahwin,” katanya.
Enggan membiarkan spekukasi negatif terus bertebaran, beliau berharap agar penjelasannya dapat memberi titik noktah terhadap isu yang sengaja dicanangkan itu. – PAHANGMEDIA