Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PULAU PINANG, 21 JULAI 2021 : Kerajaan Pahang terus melebarkan keprihatinan dan tanggungjawab terhadap rakyat melalui Bantuan Prihatin Pahang 2022 yang kini mula menemui mahasiswa anak Pahang yang berada di seluruh negara.
Jejak BPP 2022 hari ini turun ke Pulau Pinang dan bertemu 204 orang mahasiswa anak Pahang di Universiti Sains Malaysia (USM) yang ceria menerima sumbangan berjumlah RM200 setiap seorang itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, limpahan kemakmuran di Pahang diiringi keprihatinan terhadap rakyat yang berada di seluruh negara direalisasikan melalui BPP yang diteruskan pada tahun ini.
“Ini (BPP mahasiswa) merupakan satu siri BPP yang dicetuskan ideanya oleh YAB Menteri Pahang sendiri selain produk BPP lain untuk membantu pelajar.
“Sebenarnya bantuan ini melibatkan kos yang sangat besar di mana BPP untuk mahasiswa dan mahasiswi di seluruh Malaysia melibatkan RM8.54 juta, namun ini adalah bukti kestabilan Kerajaan Negeri Pahang hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 di Dewan Utama Desasiswa, Universiti Sains Malaysia hari ini.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr Azlinda Azman, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Tuan Haji Abdul Razak Abu Musa Shaari, Naib Pengerusi Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Encik Mohd Farid Mohd Nor serta Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Encik Khairul Anwar Dato’ Ahmad Nadzer.

Dalam pada itu beliau berharap agar bantuan berkenaan dapat meringankan beban dan melancarkan lagi urusan pembelajaran mahasiswa di sini.
“Mereka nyatakan rasa syukur dan nampak ceria dengan bantuan yang disampaikan. Mereka juga teruja dapat bertemu kepimpinan Kerajaan Negeri yang hadir.
“Kita juga berharap agar Kerajaan Negeri terus stabil dalam setiap aspek sekaligus dapat meneruskan lagi bantuan seperti ini pada masa-masa akan datang,” katanya. – PAHANGMEDIA