YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri sebanyak RM5,000 kepada Pegawai Kadet Kanan (PKK) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Janusha Bala Krishnan Muthiah.

JANUSHA TERIMA SUMBANGAN PENGHARGAAN RM20,000 DARIPADA KERAJAAN PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

GENTING HIGHLANDS, 20 JULAI 2022 : Pegawai Kadet Kanan (PKK) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Janusha Bala Krishnan Muthiah menerima sumbangan penghargaan daripada Kerajaan Pahang berjumlah RM20,000.

Sumbangan penghargaan itu diberikan sebagai menghargai kecemerlangannya sebagai pegawai wanita pertama negara yang berjaya menamatkan pengajian dan latihan ketenteraan di United States Naval Academy (USNA) yang merupakan akademi tentera terbaik serta berprestij di dunia.

Pegawai Kadet Kanan (PKK) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Janusha Bala Krishnan Muthiah menerima sumbangan penghargaan daripada Kerajaan Pahang berjumlah RM20,000.

Janusha yang berasal dari Lipis turut menyifatkan sumbangan ini bukan sekadar penghargaan daripada Kerajaan Negeri tetapi juga mampu memberikan inspirasi dan semangat kepada wanita-wanita di luar sana agar lebih berani untuk menceburi bidang tugas yang dipelopori oleh kebanyakan kaum lelaki.

Justeru, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pahang yang sangat prihatin dengan memberikan penghargaan kepadanya yang baru sahaja menamatkan pengajian selama empat tahun di USNA bermula tahun 2018 hingga 2022.

“Saya rasa sangat terharu dengan bantuan kewangan yang diterima, bukan semua akan dapat peluang ini untuk bertemu Menteri Besar dan juga terima hadiah dan saya amat bahagia dan bangga atas penghargaan yang telah diberikan, amat terharu dengan penghargaan yang diberi.

“Terima kasih kepada Kerajaan Pahang dan juga terima kasih MB dan pihak-pihak exco, terima kasih di atas sumbangan yang diberikan, kami amat menghargainya,” katanya.

Pegawai Kadet Kanan (PKK) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Janusha Bala Krishnan Muthiah bersama ahli keluarganya selepas menerima sumbangan penghargaan daripada Kerajaan Pahang berjumlah RM20,000.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan penghargaan bernilai RM20,000 daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Genting Highlands, di sini hari ini.

Pada majlis sama turut disampaikan surat lantikan kepada Setiausaha Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) yang baharu, Tuan Haji Yusoff Husain yang sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan di MBK. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram