30 ANAK YATIM DIRAI HOTEL AVILLION CAMERON HIGHLANDS


Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 20 JULAI 2022 : Seramai 30 anak yatim dan kurang upaya yang merupakan pelajar sekolah di Cameron Highlands diraikan dalam sebuah majlis amal bakti anjuran Hotel Avillion Cameron Highlands baru-baru ini.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Noor berkata, programTanggungjawab Sosial Korporat (CSR) seperti ini adalah selari dengan konsep ‘governance’ yang baharu.

“Program CSR ini adalah amanah pihak korporat terhadap masyarakat. Dalam konsep ‘governance’ baru-baru ini, turut diterapkan amalan CSR ini.

“Kadang-kadang sesetengah orang tak faham CSR ini, kenapa CSR kena bagi, tapi ia adalah satu inisiatif untuk badan korporat untuk memberi balik kepada masyarakat kerana tanpa masyarakat, korporat tidak akan wujud,” katanya ketika merasmikan Majlis Amal Bakti Hotel Avillion Cameron Highlands.

Turut hadir, Pengurus Hotel Avillion Cameron Highlands, YBrs. Tuan Sujeindran Gennigadaran dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Cameron Highlands Sektor Pengurusan Murid, Encik Badrulhisham Haji Mohd Tahir.

Beliau berkata program seumpama ini juga dapat mendedahkan anak-anak yatim dan kurang upaya ini kepada kehidupan yang dijalani anak-anak lain.

“Ini juga merupakan satu inisiatif untuk kita dedahkan mereka (anak-anak yatim) kepada kehidupan, kita kasihani anak-anak asnaf ini yang kurang upaya.

“Saya berharap inisiatif ini dapat diteruskan pada tahun-tahun hadapan oleh badan-badan korporat yang lain kerana ia adalah satu insentif memulangkan balik keuntungan kepada masyarakat,” katanya.

Kesemua anak yatim dan kurang upaya berusia 5 tahun sehingga 17 tahun tersebut turut dibawa melawat kawasan menarik di Cameron Highlands seperti MARDI dan Animal Feeding Rainbow Garden dengan menaiki bas.

Program tanggungjawab sosial (CSR) yang julung kali diadakan ini turut mendapat kerjasama daripada Cameron Fair. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram