Oleh : Mahathir Ali
KUANTAN, 20 JULAI 2022 : Kadar liputan 4G di kawasan berpenduduk di Negeri Pahang terus dipertingkatkan menerusi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) daripada 92.56 peratus pada suku keempat 2021 kepada 93.59 peratus pada suku pertama 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kadar ini akan terus dipertingkatkan kepada 96.9 peratus apabila fasa 1 JENDELA siap dilaksanakan pada penghujung 2022.

“Selain itu, sebanyak empat menara telah siap dibina di Pahang sehingga hujung Jun 2022. Menara-menara ini terletak di Kampung Hijrah, Pantai Sepat, Sungai Machang semuanya di Kuantan dan satu di Kg Berembang Jerantut.
“Dibawah JENDELA sebanyak 270 menara telah dirancang di Pahang dimana sebanyak 26 menara telah pun siap pada tahun 2021 dan dua lagi baru sahaja disiapkan yang terletak di Pos Lemoi dan Kampung Telimau di Cameron Highlands.
“Baki 242 menara yang sedang dilaksanakan kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan seperti perolehan tapak khususnya yang melibatkan tanah kerajaan negeri manakala tapak di atas tanah milik individu dan korporat dalam peringkat kelulusan PBT, pembersihan tapak, pembinaan awal menara dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mendengar laporan pelaksanaan JENDELA yang dibentangkan SKMM Pahang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri komited dalam memudahcarakan proses pelaksanaan projek JENDELA termasuk memberi kebenaran awal untuk memulakan kerja-kerja pembinaan menara di tapak-tapak yang melibatkan tanah kerajaan negeri sepertimana yang telah diluluskan oleh MMK baru-baru ini.
“Maklumbalas daripada ahli mesyuarat terutama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang turut mengakui dan memaklumkan bahawa projek JENDELA yang sedang dilaksanakan di seluruh negeri Pahang telah berjaya menambahbaik capaian liputan di beberapa kawasan sekolah di negeri Pahang.
“Bagi usaha berterusan meningkatkan kualiti perkhidmatan internet tanpa wayar, saya menyeru dan mengajak orang ramai untuk sama-sama membantu memberikan maklumbalas kepada pihak SKMM melalui laman aduan SKMM di www.aduan.skmm.gov.my ataupun JENDELA Portal di www.jendela.my,” katanya. – PAHANGMEDIA