YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama penerima geran pada pada Majlis Penyerahan Geran Hakmilik Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Bukit Udang, Mukim Penyor di Dewan Serbaguna Dato’ Sri Abu Bakar, Kampung Bukit Udang, di Pekan

200,000 ORANG TERIMA MANFAAT TANAH DIBANGUNKAN FELCRA

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 15 JULAI 2022 : Seramai 200,000 orang Ketua Isi Rumah termasuk ahli keluarga mereka di Pahang menerima manfaat sebagai peserta tanah Felcra yang melibatkan keluasan 52,000 hektar.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia juga merupakan usaha Kerajaan Negeri Pahang yang sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan rakyat terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan geran kepada seorang penerima pada pada Majlis Penyerahan Geran Hakmilik Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Bukit Udang, Mukim Penyor di Dewan Serbaguna Dato’ Sri Abu Bakar, Kampung Bukit Udang, di Pekan

“Alhamdulillah, syukur hari ini saya telah sampaikan geran hak milik kepada kira-kira 80 orang peserta tanah Felcra (RTK Bukit Udang) di mana setiap seorang dapat tiga ekar.Saya harap mereka dapat jaga tanah ini dengan baik sebab bukan senang nak dapat.

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada pihak Felcra terutamanya Pengerusi Felcra di atas kerjasama dan hubungan yang amat baik dengan Kerajaan Negeri kerana kalau ada apa-apa bantuan, pertolongan untuk dapat penjelasan beliau datang kepada Kerajaan Negeri dan begitu juga sebalik nya.

“Setakat hari ini semua tempat saya pergi tiada masalah besar dan ini menunjukkan Felcra ditadbir dan diurus dengan baik. Dividen juga dibayar awal daripada biasa dan satu perubahan yg positif,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada Majlis Penyerahan Geran Hakmilik Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Bukit Udang, Mukim Penyor di Dewan Serbaguna Dato’ Sri Abu Bakar, Kampung Bukit Udang, di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB Encik Sharim Mat Zain dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Mahmud.

Hadir sama, Pengerusi Felcra Berhad, YB Datuk Haji Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria, Ketua Polis Pahang, YH. Datuk Ramli Mohamed Yoosuf serta Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkefli.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian geran tanah ini bukan sahaja bertujuan untuk membantu rakyat memiliki tanah sendiri, tetapi juga menggalakkan mereka mengusahakan tanah untuk memperoleh pendapatan tambahan.

Malah katanya, ia juga secara tidak langsung dapat menghalang daripada berlakunya aktiviti pencerobohan tanah secara haram yang hanya akan merugikan Kerajaan Negeri. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram