Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Mesyuarat Agung Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia (KPPSM) Cawangan Negeri Pahang Kali Ke-47/2022 di Hotel Grand Darul Makmur, hari ini.

TANGGUNGJAWAB KITA SEMUA PASTIKAN SPESIES KEBANGGAAN NEGARA TIDAK PUPUS – KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 15 JULAI 2022 : “Menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan spesies kebanggaan negara ini (Harimau Malaya) tidak pupus,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia (KPPSM) Cawangan Negeri Pahang Kali Ke-47/2022 di Hotel Grand Darul Makmur, hari ini.

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, baginda kini sedang menggerakkan inisiatif menyelamatkan Harimau Malaya di negeri ini.

“Saya juga sedang menggerakkan inisiatif selamatkan Harimau Malaya. Alhamdulillah, Negeri kita mempunyai bilangan Harimau Malaya yang paling banyak di Malaysia.

“Justeru, menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan spesis kebanggan negara ini tidak pupus.

“Penghulu saya perlu menjadi mata dan telinga kepada saya untuk melaporkan sebarang aktiviti pemburuan haram, yang menjadi ancaman utama kepada hidupan liar ini,” titah baginda.

Baginda turut menitahkan para penghulu memainkan peranan penting bagi mencapai objektif Negeri Pahang menjadi tabung oksigen negara.

“Dalam memastikan kelestarian alam semulajadi di negeri saya ini, saya mahu penghulu memainkan peranan penting melalui galakan penyertaan ahli komuniti dalam program-program seperti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dan paya bakau.

“Oleh hal yang demikian, institusi penghulu hendaklah sentiasa bekerjasama dengan jabatan Kerajaan dan swasta bagi memastikan prinsip ESG dapat direalisasikan, bukan setakat retorik atau di atas kertas sahaja demi mencapai objektif Negeri Pahang sebagai tabung oksigen negara,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram