Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 15 JULAI 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya para penghulu di negeri ini dapat menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat sebaiknya.
Baginda bertitah supaya para penghulu sentiasa peka dan prihatin serta bertindak segera sekiranya berlaku sebarang malapetaka melibatkan rakyat.

“Saya mahu penghulu saya sentiasa peka, dan prihatin, seterusnya bertindak segera apabila berlaku kejadian atau bencana atau malapetaka yang melibatkan rakyat saya sama ada yang tinggal di kampung-kampung, ataupun di bandar-bandar seperti kejadian rumah terbakar, bencana ribut, banjir, tanah runtuh, dan lain-lain.
“Kepentingan dan kebajikan rakyat saya mesti dijaga sebaik-baiknya,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia (KPPSM) Cawangan Negeri Pahang Kali Ke-47/2022 di Hotel Grand Darul Makmur, hari ini.
Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.
Baginda turut menegaskan bahawa tugas penghulu adalah amat luas merangkumi pelbagai perkara dan aspek meliputi aktiviti sosial, ekonomi, mahupun agama.
“Misalnya masalah kemiskinan setiap penghulu yang bertugas di sesenuah mukim mesti tahu dan arif berkenaan masalah tersebut.
“Bilangan keluarga, pekerjaan ketua keluarga, pendapatan bulanan, masalah persekolahan anak-anak, keadaan rumah dan lain-lain lagi.
“Saya mahu setiap penghulu sediakan maklumat seperti ini dengan lengkap dan boleh dikemukakan dengan segera jika saya meminta daripada penghulu sekalian,” titah baginda.
Titah baginda lagi, para penghulu juga perlu menjelaskan dan memaklumkan kepentingan mempertahankan institusi DiRaja kepada generasi muda dan belia
“Saya juga berharap penghulu saya semua dapat menjadi benteng dalam mempertahankan institusi DiRaja. Penghulu perlu sampaikan amanat, dan pesanan saya kepada seluruh rakyat saya,” titah baginda.
Seramai 84 penghulu penggawa terlibat dalam Mesyuarat Agung Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia (KPPSM) Cawangan Negeri Pahang Kali Ke-47/2022 ini. -PAHANGMEDIA