Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 07 JULAI 2022 : Kerajaan Pahang memberikan insentif sebanyak RM1,000 kepada 418 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di negeri ini dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM484,000.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata insentif ini turut diberikan kepada guru-guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang bertanggungjawab terhadap kejayaan SPM baru-baru ini.

“Melalui insentif ini, seramai 300 pelajar dari sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seramai 91 orang, Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) seramai 14 orang, dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) seramai 13 orang menerima tunai RM1,000 setiap seorang.
“Manakala 21 guru subjek terbaik melibatkan 10 orang dari sekolah KPM dan 11 orang dari SMAN akan turut menerima insentif RM1,000 setiap seorang.
“Sementara itu, sebanyak 15 PIBG cemerlang melibatkan 11 PIBG dari sekolah KPM, tiga PIBG dari SMAN dan satu PIBG dari MTNP akan menerima insentif RM3,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan SPM 2021 Kerajaan Negeri Pahang Tahun 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Mohammad Rosli Abdul Rahman; Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifli Haji Ali Al-Hafiz; Pengarah MARA Negeri Pahang, YBhg. Encik Soffian Haji Mustafa; dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long.
Beliau berkata pemberian ini juga sebagai tanda Kerajaan Negeri melahirkan rasa gembira dengan kejayaan para pelajar berkenaan.
“Saya harap ini akan menjadi pendorong dan pembakar semangat mereka untuk lebih berjaya di masa-masa yang akan datang kerana perjalanan mereka masih lagi jauh,” katanya.
Mengulas mengenai kenaikan jumlah insentif yang akan diberikan kepada para pelajar cemerlang tahun hadapan, beliau berkata ia bergantung kepada kedudukan kewangan negeri.
“Kita akan pertimbangkan (jumlah kenaikan insentif) sebab memang itulah janji Kerajaan Negeri, maknanya apa jua lebihan selain daripada keperluan yang wajib, kita akan kembalikan kepada rakyat,” katanya. -PAHANGMEDIA