YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Pengarah JKM Pahang, En Zulkhairi Zainol Abidin menunjukkan bekalan makanan awal untuk mangsa banjir selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan.

KERAJAAN PAHANG TAMBAH BANTUAN SEGERA BENCANA SEHINGGA RM3,000

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 5 JULAI 2022: Kerajaan Pahang bersetuju menambah kadar bantuan segera untuk mangsa bencana ribut dan kebakaran di negeri ini kepada sehingga RM3,000 (kadar maksimum) berbanding RM1,000 sebelum ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, beliau berkata, selain bantuan segera bencana itu, Kerajaan Negeri juga turut menaikkan kadar bantuan membaiki rumah (selain bencana banjir) daripada RM2,500 kepada RM5,000 manakala bantuan pemulihan perniagaan kecil turut dinaikkan dengan kadar RM3,000.

Selain itu, kerajaan juga turut menambah baik persiapan menghadapi bencana banjir di Pahang dengan peruntukan hampir RM20 juta.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menjelaskan penambahan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

“Bagi menambah baik persiapan menghadapi bencana banjir, peruntukan hampir RM20 juta disediakan merangkumi persiapan pangkalan hadapan sebanyak RM4.8 juta, Tabung Malapetaka Daerah dengan peruntukan RM1 juta, Perolehan Darurat dengan RM8.5 juta dan Perolehan Bencana sebanyak RM3.5 juta,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga telah bersetuju menyediakan 50,000 bekalan makanan “Ready To Eat” sebagai bekalan makanan awal kepada mangsa-mangsa banjir dengan jumlah keseluruhan RM600,000 bagi memastikan kebajikan mangsa banjir terpelihara.

“Kerajaan Negeri amat memahami susah payah dan pahit getir yang dilalui setiap mangsa banjir. Justeru itulah, pihak kerajaan sehabis daya mengusahakan persediaan daripada segala aspek sebelum, semasa dan selepas bencana banjir akan mampu meminimakan impak buruk kepada rakyat yang terjejas,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram