YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bergambar bersama anak Pahang yang menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS)

PELAJAR UMS LAHIR RASA TERHARU, BERTUAH DIRAIKAN KERAJAAN PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KOTA KINABALU, 04 JULAI 2022 : Perasaan terharu dan bertuah kerana diraikan oleh kepimpinan tertinggi Kerajaan Pahang diluahkan oleh mahasiswa anak Pahang di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menerima sumbangan Bantuan Prihatin Pahang (BPP).

Menurut Nur Atiqah Sukri, 24, yang merupakan Presiden Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) UMS berkata, kehadiran YAB Menteri Besar Pahang ke UMS adalah bukti keprihatinan Kerajaan Pahang kepada semua pihak.

Nur Atiqah Sukri, 24

“Rasa gembira semestinya kerana jarang pemimpin turun sendiri bertemu anak-anak mahasiswa ini, saya rasa terharu dan bertuah sangat dapat berjumpa YAB Menteri Besar sendiri hari ini.

“Bantuan yang diterima ini akan saya gunakan untuk keperluan saya di sini memandangkan saya adalah pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Sejarah,” katanya yang berasal dari Pekan.

Beliau yang merupakan penerima bantuan Kerajaan Pahang melalui Yayasan Pahang sebelum ini melahirkan rasa berterima kasih kepada keperihatinan Kerajaan Pahang yang disifatkan tidak meminggirkan anak muda dan mementingkan pendidikan.

Sementara itu, Muhammad Wildanun Johrin Ependi, 22, dari Bentong turut melahirkan rasa bersyukur dengan pemberian BPP berkenaan.

Muhammad Wildanun Johrin Ependi, 22

“Saya sangat bersyukur dengan sumbangan yang diterima ini dan saya bercadang untuk guna bagi menampung perbelanjaan saya di sini memandangkan saya tinggal di luar kampus.

“Jadi bantuan ini sedikit sebanyak dapat menampung keperluan diri saya dari segi makan dan kos-kos hidup saya di sini.

“Saya juga sangat teruja dapat jumpa sendiri YAB Menteri Besar yang datang berjumpa setiap seorang dari kami untuk menyampaikan BPP ini,” katanya yang merupakan pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kewangan dan Perbankan.

Kira-kira 200 mahasiswa anak Pahang di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima sumbangan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) daripada Kerajaan Pahang yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang Kepada Mahasiswa Anak Pahang di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.

Bantuan ini melibatkan implikasi kewangan hampir RM9 juta dan akan diberikan kepada kira-kira 43,000 pelajar bertujuan untuk menjadi aset negeri terutamanya dalam bidang profesional. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram