Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 30 JUN 2022 : Sebanyak RM9.05 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf bekalan air di Mukim Endau di Rompin.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, kerja-kerja pelaksanaan oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) ini akan mengambil sedikit masa kerana kerja-kerja ini merupakan perancangan jangka masa panjang dengan melibatkan pelbagai infrastruktur di seluruh Pahang.

“Saya mendapat khabar gembira daripada PAIP bahawa peruntukan hampir RM9 juta telah diperuntukkan melalui PAIP sendiri untuk menaiktaraf projek bekalan air secara lebih baik dan lancar untuk bekalan air terawat di Mukim Endau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Program Corporate Social Responsibility (CSR) Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur dengan Kerjasama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) bersama Masyarakat Kampung Setajam, Pianggu dan Sarang Tiong, Teluk Gading, Rompin di Dewan Orang Ramai Kampung Setajam di Rompin, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Tuan Saiful Zaini Mohd Bokhari, Penghulu Mukim Endau, Encik Khairul Faizah Zahari dan wakil Majlis Daerah Rompin (MDR), Puan Norarizah Ahmad.
Pada majlis itu telah disampaikan sebanyak 50 bakul makanan kepada 50 penduduk kurang berkemampuan dari Kampung Setajam, Kampung Sarang Tiong dan Kampung Pianggu.
Menurut Tuan Saiful Zaini, kerja-kerja menaiktaraf telah pun mula dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada tahun 2024.
Jelasnya, sejumlah RM9.05 juta yang diperuntukkan untuk Mukim Endau melibatkan empat projek iaitu pemasangan paip MS 3000mm dari retikulasi LRA Selendang ke Tangki Perkhidmatan Parit Raja.

Kedua ialah pembinaan rumah pam dan tangki sedutan berkapasiti 1,500m³ di tapak tangki Tanjung Gemuk, ketiga ialah penggantian pam sedia ada di rumah pam Pianggu dan keempat pemasangan paip MSCL 2000mm dan struktur sokongan merentasi sungai anak Endau.
“Projek ini sebenarnya kita dah lakukan, design dah siap, dokumen semua dah siap, Cuma kita survey sikit lagi dan kita kena tunggu untuk proses peralihan. Jangkaan kita dalam lebih kurang paling lambat pun dalam tahun 2024 atau pun paling awal pada hujung tahun depan,” katanya.
Pada majlis sama, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari turut memaklumkan bahawa pihaknya akan menyediakan 40 tangki air di kawasan-kawasan Mukim Endau yang menghadapi gangguan bekalan air sementara projek disiapkan. – PAHANGMEDIA