Oleh : Fairus Mohd
Foto : Mahathir Ali
PEKAN, 30 JUN 2022 : “Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang di atas kurniaan rumah baru ini, saya dapat meneruskan kehidupan yang selesa selepas kehilangan rumah lama yang hangus terbakar,” kata ibu tunggal, Puan Norkori Abu Talib, 64.
Beliau yang tinggal di Kampung Permatang Pauh turut bersyukur dengan keprihatinan dan rezeki yang diterima selepas ditimpa tragedi tersebut pada Disember tahun lalu.

“Kalau tiada bantuan (rumah) ni, entah ke mana lah makcik nak duduk.. sepanjang menanti rumah baru siap makcik menumpang di rumah kedai (bengkel) anak lelaki.
“Tidak lah selesa seperti rumah sendiri namun alhamdulillah Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) turut menawarkan pembiayaan sewa rumah sementara tunggu rumah baru siap dibina,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada majlis penyerahan kunci rumah baru di Kampung Permatang Pauh, hari ini.
Replika kunci serta bantuan asas dari MUIP disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr. Haji Asmadi Abd Rahman.
Turut sama, Pengurus MUIP Cawangan Daerah Pekan, Ustaz Mohd Nasrul Hakim Mat Daud yang juga Ketua Kampung Permatang Pauh serta Pegawai Khas YB Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar, Encik Ahmad Khairuddin Mat Taib.

Dalam pada itu, Puan Norkori berkata keprihatinan Pemangku Raja Pahang yang juga Yang Dipertua MUIP, YB Bebar serta pemimpin setempat meringankan beban yang ditanggung.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada raja dan pemimpin negeri ini yang sering segera bertindak demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Alhamdulillah, semua kesedihan terubat dengan kurniaan yang diterima dan saya juga berterima kasih kepada pembayar zakat kerana membantu golongan asnaf yang memerlukan,” katanya. – PAHANGMEDIA