YAB Menteri Besar ketika Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Sistem Bekalan Air di Kampung Bukit Kuin, Kuantan di Perkarangan Masjid Al-Amin Kampung Bukit Kuin 2 di Kuantan.

PENDUDUK GEMBIRA SISTEM BEKALAN AIR DIBAIK PULIH

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 30 JUN 2022 : Penduduk di Bukit Kuin di Kuantan sangat gembira dan teruja apabila kerajaan membelanjakan RM5.7 juta bagi menaik taraf sistem bekalan air di kampung terbabit.

Seorang penduduk, Puan Rakiah Saman, 70, berkata, beliau dan keluarga tidak sabar untuk menikmati kemudahan bekalan air yang lebih baik setelah projek penambahbaikan sistem bekalan air selesai menjelang April tahun hadapan.

Puan Rakiah Saman, 70

“Saya sangat bersyukur dan gembira apabila kerajaan mengambil peduli tentang kebajikan dan keperluan penduduk di Kampung Bukit Kuin yang berhadapan dengan masalah bekalan air ini.

“Kami penduduk di sini berhadapan dengan masalah tekanan air rendah yang memaksa saya dan keluarga untuk menadah air pada pukul 3 pagi kerana pada waktu itu sahaja air dapat naik ke kawasan rumah saya,” katanya.

Sementara itu, Encik Zaidi Hassan, 56, berkata, beliau sangat gembira apabila kerajaan berusaha membantu menyelesaikan penderitaan masyarakat di Kampung Bukit Kuin.

Encik Zaidi Hassan, 56.

“Sebelum ini saya dan jiran terpaksa mengangkut air dari jauh dan mencatu bekalan air bersama jiran-jiran bagi kegunaan harian dan kami sabar menghadapinya.

“Kami tidak sabar untuk mendapatkan bekalan air yang baik selepas projek ini disiapkan pada April 2023,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Encik Wan Mohd Faizal Wan Ibrahim, 37, berkata, dia bersama jiran akan menunggu bekalan air yang dihantar menggunakan lori pada waktu siang untuk digunakan bagi keperluan harian seperti memasak dan membasuh.

Encik Wan Mohd Faizal Wan Ibrahim, 37.

“Keadaan sedikit sukar kerana saya bertujuh sekeluarga perlu berjimat cermat menggunakan air untuk keperluan harian dan perlu menadah air sebagai inisiatif,” katanya.

Justeru, beliau berterima kasih kepada kerajaan yang berusaha menyelesaikan isu sistem bekalan air yang dihadapi penduduk sejak lebih tiga dekad lalu. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram