YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) baru-baru ini

INSENTIF RM1,000 KEPADA PELAJAR PEROLEH SEMUA A DALAM SPM 2021

KUANTAN, 23 JUN 2022 : Kerajaan Pahang menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bersetuju untuk memberi insentif tunai RM1,000 kepada setiap pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dengan melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM300,000.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan ini merupakan penghargaan Kerajaan Negeri Pahang kepada segala usaha, penat lelah, kesukaran dan ketekunan para pelajar yang terpaksa belajar dalam suasana penuh cabaran termasuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) akibat pandemik Covid-19.

“Seramai 300 daripada 17,008 calon yang mengambil peperiksaan SPM 2021 di negeri ini memperoleh keputusan gred A dalam semua mata pelajaran yang telah diumumkan pada 16 Jun 2022 yang lalu.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang ini.

“Terima kasih juga kepada tenaga pengajar dan ibu bapa yang tidak jemu-jemu mencurahkan ilmu demi kejayaan pelajar-pelajar ini. Selamat maju jaya kepada pelajar-pelajar cemerlang ini dan semoga berjaya dalam bidang yang diceburi pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram