YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama seorang penerima pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 Fasa 2 Kluster Pemandu Teksi Peringkat Negeri Pahang di Dewan Majlis Bandaraya , Majlis Bandaraya Kuantan (MBK),

PEMANDU TEKSI SYUKUR TERIMA BPP 2022 FASA 2

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 21 JUN 2022 : Keprihatinan Kerajaan Pahang dalam memperuntukkan sejumlah RM140,800 kepada 704 pemandu teksi di seluruh Pahang memberikan kelegaan kepada golongan tersebut dalam meringankan bebanan mereka terutama apabila negara kini berada dalam fasa endemik COVID-19 di mana ekonomi beransur pulih seperti sediakala.

Seorang pemandu teksi, Encik Busu Harun, 56, berkata, sumbangan oleh Kerajaan Pahang ini membuktikan tanda ingatan terhadap golongan pemandu teksi kerana mereka antara yang terjejas pendapatan terutama ketika pandemik COVID-19 melanda sejak tahun 2020.

Encik Busu Harun

Keadaan tersebut mengakibatkan kesemua mereka terputus punca pendapatan apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dikenakan di seluruh negara pada ketika itu.

“Bantuan ini sangat membantu kami terutama selepas keadaan kembali beransur pulih ketika ini dan orang ramai sudah mula menjalani kehidupan seperti sebelum ini.

“Saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan negeri yang tidak melupakan golongan pemandu teksi seperti kami dengan memberikan bantuan dan saya berharap ianya akan berterusan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Encik Nur Azmani Mohammad Nor, 52, berkata, sebelum ini golongan pemandu teksi tidak pernah diberikan perhatian khusus terutama membabitkan pemberian bantuan seumpama ini.

Justeru katanya, keprihatinan Kerajaan Pahang yang diterajui YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail membuktikan kecaknaan beliau terhadap pelbagai peringkat masyarakat.

Encik Nur Azmani Mohammad Nor.

“Saya sangat gembira dan bersyukur dengan pemberian bantuan BPP pada hari ini dan bantuan ini dapatlah sedikit sebanyak membantu perbelanjaan saya dan keluarga kerana pendapatan sebagai pemandu teksi pada hari ini tidak sebaik dahulu dan sedikit terjejas serta mencabar,” katanya.

Kedua-dua mereka adalah antara penerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 Fasa 2 Kluster Pemandu Teksi Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya , Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, petang tadi.

Pada April lalu, Kerajan Pahang telah mengumumkan pakej BPP bagi tahun 2022 melibatkan peruntukan sebanyak RM29.91 juta bagi manfaat 297,013 orang penerima di seluruh negeri.

Peruntukan ini membabitkan empat kluster utama iaitu Kluster Pelajar dan Anak Muda, Kluster Golongan B40, Kluster Umum dan Kluster Apresiasi sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat.

Selain pemandu teksi, bantuan sama turut disampaikan kepada 900 veteran tentera dan bekas polis dengan jumlah peruntukan RM1.8 juta, 9,144 penjaja harian dengan jumlah RM1.83 juta, dan tidak lama lagi bantuan turut disampaikan kepada golongan nelayan dan ibu tunggal yang layak. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram