YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Insentif Kemenangan Atlet Pahang di Sukan Sea ke-31 Vietnam 2021 di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur

11 ATLET PAHANG BAGI SUKAN SEA KE-31 TERIMA INSENTIF RM26,000

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUALA LUMPUR, 20 JUN 2022 : Kerajaan Pahang menyampaikan insentif kemenangan sebanyak RM26,000 kepada 11 atlet negeri ini yang memenangi pingat pada Sukan SEA Ke-31 di Vietnam.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insentif ini adalah sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan Kerajaan Pahang kepada para atlet terlibat.

“Sesungguhnya, hari ini amat istimewa dan bermakna kerana majlis ini diadakan sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap sumbangan, pengorbanan serta kejayaan para atlet serta jurulatih dalam melatih atlet-atlet muda Negeri Pahang menjadi atlet mengharumkan nama Negeri dan Negara.

“Kita harus berasa bangga kerana Negeri Pahang semakin dikenali di mata dunia atas pencapaian cemerlang atlet-atlet kita dalam beberapa acara sukan hingga diangkat sebagai Ikon Sukan Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Pahang di Sukan Sea ke-31 Vietnam 2021 di Tamu Hotel & Suites, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.

Sebanyak 10 pingat melibatkan tiga emas, satu perak, dan enam gangsa dipungut oleh atlet dari Pahang dalam Sukan SEA berkenaan.

Sebelas atlet yang menerima insentif kemenangan ini adalah Nor Sarah Adi dari Maran bagi acara olahraga lompat bergalah dan 4×100 meter; Koi Sie Yan dari Kuantan (gimrama); Mohd Taqiyuddin Hamid dari Maran (pencak silat); Sazzlan Yuga dari Maran (pencak silat); dan Shahrukh Amin Zulkifli dari Kuantan (tenpin bowling).

Selain itu, turut menerima insentif, Mohd Al Jufferi Jamari daru Kuantan (pencak silat); Mohamad Hazim Amzad dari Pekan (pencak silat); Siti Nur Khairunnisa Hail (pencak silat); Fatin Ardani Zamri (pencak silat); Emmanuel Leong Theng Kuang dari Kuantan (karate do); Muhamad Farish Husaini Zailani dari Kuantan (e-sport).

Beliau berkata Kerajaan Pahang juga telah memperuntukkan RM11.9 juta pada Belanjawan 2022 Disember lepas bagi tujuan pembangunan sukan di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Di samping itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM1.3 juta ringgit untuk penubuhan Akademi Sukan termasuk untuk pelaksanaan program e-sports.

“Manakala konsep pelaksanaan penubuhan Akademi Sukan akan memberi penekanan kepada program kecemerlangan dan pembangunan dengan tumpuan kepada perkara-perkara berikut iaitu; pencarian bakat dan pengkhususan bakat, kemudahan latihan, pembangunan kejurulatihan, pengukuhan pertandingan, dan penganjuran kejohanan,” katanya.

Tambah beliau lagi, dengan adanya Akademi Sukan di negeri ini ia akan mendedahkan peluang kerjaya kepada para remaja selain daripada menjadi atlet.

“Sementara itu, saya juga berharap agar lebih ramai atlet-atlet muda yang berpotensi besar dapat diketengahkan melalui Kejohanan SUKAN MALAYSIA ke-20 MSN 2022 yang akan diadakan pada 16 hingga 24 September 2022 di Kuala Lumpur kelak,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram