YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Peringkat Negeri Pahang bagi tahun 2022 kepada YH. Datin Sri Dato’ Hajah Fatimah Kassim pada Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Kali Ke-51 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Maran.

KERAJAAN PAHANG MENERUSI YP BELANJA LEBIH RM1 BILION PERKASA PENDIDIKAN DI PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

MARAN, 17 JUN 2022 : Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Pahang (YP) telah membelanjakan lebih RM1 bilion bagi memperkasakan pendidikan di Pahang menerusi perlaksanaan pelbagai inisiatif melibatkan sektor pendidikan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan sangat komited memperkasa sektor berkenaan menerusi perlaksanaan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) di seluruh negeri ini.

“Usaha kerajaan negeri daripada dulu lagi untuk memperkasakan pendidikan sebagai contoh Yayasan Pahang, daripada dulu sampai sekarang telah membelanjakan lebih RM1 bilion untuk anak-anak kita.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Dan juga baru-baru ini saya telah mengumumkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kita telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk kad diskaun pelajar kita panggil Pahang Pride Student di mana pelajar akan membeli buku-buku dan mendapat diskaun sebanyak 20 peratus.

“Dan banyak lagi seperti yang kita bagi kepada anak-anak kita yang berjaya di dalam bidang pendidikan merangkumi pelbagai peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Kali Ke-51 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Maran.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Kali Ke-51 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Maran.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB. Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Abd Muttalib, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Mohammad Rosli Abdul Rahman.

Pada majlis itu, turut disampaikan anugerah Kategori Kepimpinan Pendidikan Peringkat Negeri Pahang kepada YH. Dato’ Haji Zaimi Abu Bakar dan Penerima Anugerah Tokoh Guru Peringkat Negeri Pahang bagi tahun 2022 kepada YH. Datin Sri Dato’ Hajah Fatimah Kassim. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram