Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UCYP dan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Pelancaran Pahang Ecology Research Centre (PERC) di Dewan Besar Yayasan Pahang, hari ini.

PAHANG ECOLOGY RESEARCH CENTRE (PERC) BANTU PAHANG KEKALKAN KONSEP ESG

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 17 JUN 2022 : Pelancaran Pahang Ecology Research Centre (PERC) bakal membantu negeri ini melaksanakan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar selaras dengan konsep kelestarian Environment, Social and Governance (ESG) yang menjadi rujukan Kerajaan Negeri dalam merencanakan usaha kemampanan negeri dalam setiap aspek

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, usaha berkenaan turut termaktub dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara University College of Yayasan Pahang (UCYP) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

“Kolaborasi UCYP dan UPM ini diharapkan dapat menghasilkan impak yang besar buat negeri terutama dalam aspek pertanian, alam sekitar dan juga pelancongan berkonsepkan nature dan hutan.

“Pahang memiliki banyak tempat menarik dan ia membuka kepada lebih banyak peluang kajian yang boleh dipelopori oleh kedua-dua institusi dalam menghasilkan produk inovasi seperti kajian berkenaan benih tanaman, penanaman berteknologi tinggi dan penghasilan produk hiliran yang bukan hanya menumpang kepada negeri malah kepada komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UCYP dan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Pelancaran Pahang Ecology Research Centre (PERC) di Dewan Besar Yayasan Pahang, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman serta Ketua Hakim Syarie Pahang, YH Dato’ Sri Abdul Rahman Yunus.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad Haji Zainuddin dan Naib Canselor UPM, Profesor Dato’ Dr Mohd Roslan Sulaiman.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar berkata, program ini penting dalam usaha memperluaskan potensi UCYP dan UPM dalam konteks penyelidikan, program akademik, projek Inovasi serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang kini menjadi fokus utama Kerajaan Negeri.

“Negeri Pahang mempunyai keluasan tanah berjumlah 35,000 kilometer persegi dengan majoriti tanah adalah tanah untuk pertanian melibatkan hasil utama seperti minyak sawit dan getah asli dengan pencapaian pengeluaran sebanyak RM2.8 juta tan metrik minyak sawit serta RM3.2 juta tan metrik getah asli pada tahun lalu.

“Ia membuktikan bahawa tanah Pahang kaya dan subur ini boleh diperluaskan lagi dengan melaksanakan usaha-usaha memajukan negeri ini sekaligus memberi manfaat kepada semua pihak terlibat terutamanya demi kestabilan ekonomi, kelestarian hidup penduduk negeri ini dan Malaysia amnya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram