Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 16 JUN 2022 : Lebih 90 peratus peneroka FELDA di seluruh negeri ini telah pun menerima suratan hak milik tanah daripada keseluruhan 43,126 peneroka yang melibatkan 203,011 hektar tanah yang telah dibuka sebagai tanah rancangan FELDA.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kurang daripada 10 peratus iaitu 3,674 orang sahaja belum menerima suratan tersebut.
“Kita dah serahkan 90 peratus lebih, bakinya akan kita uruskan dalam masa yang terdekat. Ini terpulang pada pihak FELDA.
“Tapi usaha ke arah itu (penyerahan suratan hak milik) sedang dibuat, jangan risaulah dah lebih 90 peratus dah yang dapat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik Tanah kepada Peneroka Peringkat 2 FELDA Keratong 7 dan 8 di Dewan Semai Bakti FELDA Keratong 8, Rompin.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah; Ahli Parlimen Rompin, YB. Dato’ Sri Hassan Ariffin dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tioman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain.
Seramai 218 peneroka peringkat 2 FELDA Keratong 7 dan 8 di sini telah menerima suratan hak milik tanah yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang sendiri.
Tambah beliau lagi, sebanyak RM1 bilion telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat bagi keseluruhan Projek Perumahan FELDA termasuklah projek Perumahan Belia FELDA dan Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA.

“Peruntukan ini juga melibatkan projek bagi menyiapkan Perumahan Baharu FELDA yang terbengkalai bernilai RM200 juta ringgit yang melibatkan beberapa kawasan di seluruh Pahang.
“Kawasan-kawasan tersebut ialah Keratong, Jengka 1, Jengka 6, Jengka 11, Jengka 12, Kg. Awah, Bukit Sagu, Sg. Rentang, Kota Gelanggi 2, Bukit Tajau, Chini 3, Sg. Tekam serta Sg. Koyan A dan Sg Koyan 2B,” katanya.
Beliau turut mengingatkan para penerima supaya menjaga tanah yang diterima sebaik mungkin dan tidak menjual kepada pihak lain.
“Jangan jual tanah sebab bukan senang nak dapat ni. Mereka (peneroka) datang dari dulu lagi untuk meneroka (kawasan), keletihan, bebanan, kesengsaraan.
“Saya percaya mereka sangat berpuas hati kerana hari ini adalah saat-saat yang mereka tunggu untuk mendapat suratan hak milik. Jadi saya ucapkan terima kasih kepada FELDA untuk usaha ini,” katanya. -PAHANGMEDIA