YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada seorang mangsa banjir.

RM44. 05 JUTA BINA SEMULA DAN BAIK PULIH RUMAH MANGSA BANJIR DI PAHANG

Oleh : Fairus Mohd

BENTONG, 15 JUN 2022 : Sebanyak RM44.05 juta diperuntukkan bagi membina baharu rumah yang musnah sepenuhnya serta membaikpulih rumah yang mengalami kerosakan ketika negeri ini dilanda banjir penghujung tahun lalu.

Peruntukan berkenaan diterima Kerajaan Negeri Pahang daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); sumbangan daripada Kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain peruntukan Kerajaan Negeri sendiri.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan berkenaan melibatkan pembinaan 148 buah rumah baharu bernilai RM75,000 (tidak bertiang) dan RM100,000 (bertiang) serta proses baikpulih 3,948 buah rumah dengan anggaran kos sehingga RM15,000 sebuah.

“Kerja-kerja verifikasi dan pembaikan kerosakan rumah-rumah mangsa telah bermula seawal Januari 2022 di mana sebahagiannya masih lagi berjalan dan dijangka selesai selewat-lewatnya pada bulan Ogos depan.

“Kerja-kerja bina 148 buah rumah baharu pula akan bermula pada bulan ini dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pertengahan September 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada hari ini beliau turut berkesempatan menyerahkan surat lantikan kepada kontraktor-kontraktor dari daerah Bentong dan daerah Raub dalam satu majlis ringkas di Majlis Perbandaran Bentong, di sini.

Dalam pada itu beliau berkata, pelbagai agensi yang terlibat dalam pelaksanaan kerja-kerja berkenaan iaitu Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Kerja Raya, Syarikat Perumahan Negara Berhad, PR1MA Malaysia, FELCRA Bina dan Giat Mara.

“Kerajaan Negeri juga telah melantik 90 kontraktor di seluruh negeri Pahang buat masa ini bagi melaksanakan kerja-kerja tersebut manakala 13 kontraktor lagi akan dilantik dalam masa terdekat.

“Pemantauan pelaksanaan akan terus dilaksanakan sehingga kerja-kerja pembinaan dan baik pulih rumah disiapkan dengan sempurna.

“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dalam soal kebajikan rakyat dan akan menyalurkan segala bentuk bantuan yang sewajarnya bagi membela nasib mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau turut berharap agar bantuan yang diterima kesemua mangsa terlibat dapat menikmati keselesaan hidup selepas bencana yang melanda. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram