Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 09 JUN 2022 : Kerajaan Pahang sentiasa mementingkan kebajikan serta pembangunan bagi masyarakat Orang Asli di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata perkara ini dapat dilakukan dengan kerjasama daripada pemimpin masyarakat Orang Asli sendiri.

“Kerajaan Negeri Pahang sememangnya sentiasa memberi perhatian khusus kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini. Kesungguhan ini dapat dibuktikan dengan pelbagai bentuk pembangunan dan sumbangan yang kita salurkan kepada masyarakat Orang Asli setiap tahun.
“Malah dalam Bajet Kerajaan Negeri yang kita umumkan setiap tahun, peruntukan dan program khas untuk masyarakat Orang Asli tidak pernah kita lupakan. Malah kita sentiasa menambah peruntukan sedia ada agar masyarakat Orang Asli di negeri ini dapat menikmati keselesaan dan mengubah taraf hidup mereka dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis meraikan Kepimpinan Batin-Batin Negeri Pahang dalam majlis makan malam di Sri Manja Hotel, Kuantan.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Shamsulbahri Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Talam, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Orang Asli Corporation atau ORACO sebagai tanda prihatin dan mengambil berat terhadap masyarakat Orang Asli di negeri ini.
“Seperti mana Belanjawan 2022 yang telah saya umumkan pada Disember tahun lalu, pada tahun in Kerajaan Negeri telah menubuhkan Orang Asli Corporation atau ORACO sebagai tanda prihatin dan mengambil berat Kerajaan Negeri terhadap pembangunan dan kebajikan Orang Asli.

“Penubuhan ORACO adalah bertujuan untuk memperkasakan masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang yang bertindak sebagai Pusat Sehenti atau One Stop Centre bagi merancang, mengurus, dan memantau aktiviti ekonomi yang akan dijalankan di atas tanah yang berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.
Tambah beliau lagi, perjumpaaan ini sebagai tanda keperihatinan dan terima kasih Kerajaan Negeri terhadap tanggungjawab dan pengorbanan yang telah para pemimpin curahkan dalam menggalas tugas sebagai pemimpin di peringkat kampung tradisional.
“Bagi saya tak ada bezanya, baik pemimpin peringkat kampung tradisional mahupun pemimpin Orang Asli. Semuanya kita raikan sama taraf.
“Apa juga peruntukan dan sumbangan yang pemimpin kampung tradisional dapat, kita berikan juga kepada pemimpin Orang Asli,” katanya.
Beliau dalam majlis berkenaan turut menyampaikan bantuan kewangan secara one-off sebanyak RM1,000 kepada 250 Tok Batin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Orang Asli.
“Perjumpaan saya dengan semua ini juga bukan sekadar untuk meraikan kepimpinan Orang Asli seluruh Pahang tetapi juga untuk saya menyerahkan sumbangan tunai secara one-off berjumlah RM1,000 kepada Batin-batin dan Pengerusi JPKK Orang Asli dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM305,000,” katanya. -PAHANGMEDIA