Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 06 JUN 2022 : Kerja-kerja mendalamkan dua batang sungai di daerah ini bagi mengelakkan kejadian banjir lebih buruk berlaku telahpun 20 peratus selesai setakat ini.
Dua sungai yang terlibat adalah Sungai Lampin, Janda Baik sepanjang 1 kilometer dan Sungai Benus, Bentong sepanjang 5 kilometer.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerja pendalaman sungai tersebut melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM1 juta.
“Program hari ini boleh memberi peluang kepada saya untuk menjelaskan apakah tindakan-tindakan Kerajaan Negeri yang telah ambil.

“Tindakan serta merta ialah kita telah memberi peruntukan RM1 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran di mana mereka mengatakan ada longkang ataupun parit yang tersumbat dan kerja-kerja telahpun berjalan hampir 20 peratus telah siap.
“Jadi saya harap kerja-kerja ini boleh siap mengikut jadual dan saya percaya ini boleh mengurangkan sedikit sekiranya banjir masih berlaku di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bertemu dan menyampaikan bantuan tambahan kepada 160 mangsa banjir di Kampung Janda Baik di Dataran Sekolah Kebangsaan Janda Baik.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; dan Pegawai Daerah Bentong, Encik Mohd Khuzaidi Harun.
Beliau berkata Kerajaan Pahang juga telah memberikan bantuan tambahan kepada penduduk terlibat sebagai tanda prihatin kepada mereka.
“Kita bagi hari ini setiap mangsa banjir kita bagi RM300. Sebelum ini kita dah bagi RM200. Dan Kerajaan Persekutuan dah bagi RM500. Jadi setiap orang dapat RM1,000.
“Ini sebagai tanda prihatin Kerajaan Negeri dan Persekutuan dan disamping itu bantuan-bantuan daripada agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat telah pun mereka dapati,” katanya. -PAHANGMEDIA