KUANTAN, 2 JUN 2022 : Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pahang mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam penganjuran perhimpunan ‘Reunion’ RU 6622 Bekas Perajurit Malaysia pada 6 Jun ini.
Pendirian berkenaan dikongsi bersama pimpinan Persatuan Veteran ATM (PVATM), Persatuan Veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (PVTUDM) Pahang, Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) sertal Persatuan Bekas Pasukan Khas TUDM (PBPKU) Malaysia.
Yang Dipertua PVTLDM Pahang, Encik Awai Mohamad berkata, mereka lebih memilih untuk menggunakan saluran yang betul seperti mengadakan rundingan dalam membuat sebarang tuntutan apatah lagi mereka merupakan sebuah persatuan di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) yang tertakluk di bawah Akta Veteran 2012 (Akta 740).
“Sekiranya ada ahli dari persatuan-persatuan ini terlibat dalam himpunan tersebut, ianya lebih bersifat peribadi dan sementara.
“Jangan dikaitkan dengan persatuan-persatuan ini kerana kami veteran ATM mempunyai jati diri dan taat sedia kepada persatuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar deklarasi menolak perhimpunan RU6622 Bekas Perajurit Malaysia di sini pada Khamis.
Turut hadir Pengerusi PVTUDM Pahang, Leftenan Kolonel (B), Encik Fakarudin Pilus; Pengerusi PBPKU Malaysia, Mejar (B), Jasni Abd Salam serta Naib Pengerusi PVTUDM Pahang, Encik Ishak Ibrahim.
Awai berkata, pendirian mereka tidak bersetuju dengan tuntutan melalui perhimpanan seperti itu kerana sebagai veteran yang dilatih dengan displin mereka ada cara betul untuk membuat sebarang tuntutan.
“Kita ada persatuan dan JHEV yang sememangnya sentiasa memperjuangkan kebajikan ahli sebagai saluran dalam mengemukakan tuntutan.
“Bagi kami lima teras tuntutan yang diperjuangkan itu baik dan tiada sebab untuk menolaknya tetapi ia perlu melalui cara yang sepatutnya,”katanya.
Sementara itu, Pengerusi PVTUDM Pahang, Leftenan Kolonel (B), Encik Fakarudin Pilus berkata, teguran telah dibuat kepada ahli yang mungkin akan ikut serta dalam perhimpunan tersebut supaya membatalkan hasrat mereka.
“Sekiranya mereka ingin meneruskan hasrat itu, kita tiada masalah namun hanya sebagai individu dan tidak menggunakan nama, logo atau pakaian atas nama persatuan,”katanya.
Beliau berkata, asas kepada penolakan kepada perhimpunan itu turut mengambil kira tarikh yang ditetapkan tidak sesuai kerana pada hari tersebut adalah Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Kenapa perlu pilih tarikh itu dan bukan tarikh lain ?. Sebaiknya tunggu sahaja perkembangan tuntutan daripada jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan bagi membawa tuntutan tersebut kerana perkara ini sudah dibawa dan dalam perhatian serta pertimbangan kerajaan,” katanya.
Lima teras tuntutan yang diperjuangkan veteran sebelum ini iaitu penyelarasan pencen, bantuan kebajikan, jangka masa pencen terbitan, penubuhan tribunal pengampunan dan pemberian elaun kenangan bulanan kepada penerima Pingat Jasa Malaysia.
Sebelum ini media melaporkan veteran ATM akan mengadakan perhimpunan aman di ibu negara pada 6 Jun ini bagi menyuarakan rasa tidak puas hati kepada kerajaan yang didakwa tidak menjaga kebajikan tentera berpencen, tidak berpencen dan diberhentikan.
Perhimpunan itu turut akan diadakan secara serentak di semua negeri. -PAHANGMEDIA