Sidang Belia Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

PERWAKILAN BELIA TERHARU TERIMA PERUNTUKAN KHAS RM5000 DARI KERAJAAN PAHANG

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 31 MEI 2022 : Perwakilan Sidang Belia Dewan Negeri Pahang menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada Menteri Besar Pahang di atas peruntukan sebanyak RM5,000 yang diluluskan bagi mereka menjalankan aktiviti di kawasan yang diwakili masing-masing.

Bagi perwakilan belia dari Dewan Negeri (DN) Bebar, Encik Wan Ahmad Fakhri Wan Abdul Halim, 34, ia merupakan kesempatan terbaik bagi pemimpin muda untuk menonjolkan kemampuan kepada masyarakat.

“Saya menganggap diri saya adalah pemimpin kecil yang diberi peluang dan peruntukan. Ini adalah amanah yang perlu dilunaskan dengan sebaik mungkin.

Encik Nur Amin Nor Azhar

“Bagi saya sendiri, perancangan adalah untuk program-program yang mampu melahirkan pemimpin kecil, pemimpin belia dan juga pemimpin setempat yang mampu memberi sokongan kepada kerajaan dengan baik.

Bagi perwakilan dari Teruntum, Encik Haziq Hafiz Himas, 24, ucapan terima kasih ditujukan kepada Menteri Besar Pahang di atas keprihatinan yang diberikan kepada golongan belia yang mahu turut sama menampilkan kredibiliti diri.

“Peruntukan ini memberi peluang kepada perwakilan untuk memikirkan program yang bersesuaian bersama masyarakat setempat khususnya bersama golongan muda.

“Bagi saya, mungkin saya akan tumpukan kepada penganjuran program sukan dan motivasi yang saya rasa mampu menarik minat ramai golongan muda,” katanya.

Perwakilan dari Dong, Encik Nur Amin Nor Azhar, 32, pula turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Negeri melalui kelulusan peruntukan oleh Menteri Besar Pahang yang menyedari kepentingan memiliki barisan kepimpinan berkualiti.

“Saya akan buat program sukan bersama anak muda seperti futsal dan badminton yang menjadi minat golongan ini.

“Ia menjadi platform untuk pemimpin setempat mendekati anak muda dan mendengar pelbagai luahan, idea serta pandangan yang mungkin dapat membantu kepimpinan sedia ada,” katanya.

Encik Thinagaren Sanggaren

Bagi Encik Thinagaren Sanggaren, 27, yang merupakan perwakilan dari Tras, peruntukan RM5000 adalah banyak bagi golongan belia.

“Peruntukan ini akan digunakan bagi program pembangunan belia yang melibatkan pelbagai lapisan belia termasuk golongan mahasiswa.

“Kita akan buat aktiviti khusus bagi anak muda dan jemput pemimpin termasuk MB sendiri untuk bertemu golongan muda di kawasan Tras,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram