YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama perwakilan sidang belia negeri Pahang pada Majlis Perasmian Sidang Belia Dewan Negeri Pahang dan Makan Malam Di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang, Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

KERAJAAN PAHANG BERJAYA KUTIP HASIL RM520 JUTA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 31 MEI 2022 : Kerajaan Pahang telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM520 juta setakat ini daripada jangkaan sebanyak RM1.036 bilion tahun ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata jumlah kutipan ini adalah awal daripada tempoh yang dijangkakan oleh Kerajaan Pahang.

“Tahun ini sasaran Kerajaan Negeri ialah RM1 bilion dan saya sangat optimis ianya boleh dicapai kerana sehingga Rabu lepas, saya mendapat laporan kita telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM520 juta.

“Ini baru bulan 5, patutnya bulan 6 (jangkaan kutipan). Kita dapat awal (separuh daripada sasaran). Doakan supaya ekonomi kita stabil, kita nak bagi balik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sidang Belia Dewan Negeri Pahang dan Makan Malam Di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang, Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

Turut hadir, Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad; Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohamed Haji Jaafar; Timbalan Menteri Kewangan I, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.

Kerajaan Negeri Pahang dijangka mengutip hasil sebanyak RM1.036 bilion pada tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 29.4 peratus berbanding anggaran pada tahun 2021 yang dijangka diperoleh daripada beberapa sumber.

Sasaran kutipan hasil ini dibentangkan oleh YAB Menteri Besar Pahang semasa Belanjawan Tahun 2022 Kerajaan Negeri Pahang bertemakan Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama, Rakyat Sejahtera pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, pada 6 Disember tahun lepas. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram