Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 27 MEI 2022 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail meminta pihak pemaju yang dipertanggungjawabkan bagi pembinaan kompleks pentadbiran baharu Kerajaan Pahang iaitu Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) supaya dapat menumpukan kerja-kerja di bahagian utama kompleks berkenaan.
Beliau berkata, tindakan tersebut bertujuan membolehkan perpindahan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang secara berperingkat bermula 1 Julai depan.

“Dan tadi saya telah memberi pandangan saya sebagai contohnya semua pekerja harus ditumpukan kepada bahagian-bahagian tertentu yang perlu untuk berpindah pada 1 Julai ini dan dalam masa yang sama saya meminta supaya pihak pemaju meningkatkan lagi pekerja-pekerja walaupun saya tahu ada kekangan untuk mendapatkan pekerja selepas COVID-19 ini.
“Saya berbincang tadi, ada lah beberapa perkara telah diputuskan supaya dapat dipercepatkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika singgah dan melakukan lawatan ke PPSAS di KotaSAS, Kuantan, pagi tadi.
PPSAS yang bernilai RM415.5 juta ini merupakan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri yang baharu menggantikan Wisma Sri Pahang yang telah berusia 55 tahun (sejak tahun 1967).
Kompleks ini akan menjadi ikon terbaharu di Pahang dengan rekabentuk bangunan kompleksnya yang diinspirasikan daripada jata Negeri Pahang dengan mengaplikasikan teknologi hijau. – PAHANGMEDIA