Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 26 MEI 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Lipis dalam beberapa siri lawatan baginda ke daerah ini.

Baginda tiba di lokasi pertama iaitu di tapak perlombongan di Bukit Selinsing dan berkenan mendengar taklimat berkenaan latar belakang lombong dan proses perlombongan emas yang dilakukan di situ.

Keberangkatan tiba baginda pada pukul 12 tengahari disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar serta pemimpin setempat.

Baginda kemudiannya berangkat ke Kampung Dada Kering untuk melawat dan mendengar taklimat berkenaan Skim Pelombong Kecil (SPK) yang melibatkan 49 orang penduduk setempat.

Lebih istimewa, baginda turut berkenan mencuba mendulang emas di tapak perlombongan dan melihat sendiri cara-cara mendulang oleh penduduk terlibat.
Dikenali sebagai seorang KDYMM Pemangku Raja yang berjiwa rakyat, baginda kemudiannya berkenan meluangkan masa bertemu rakyat jelata di sekitar Mukim Kechau dalam Program Sambutan Hari Raya bersama baginda di pekarangan surau Kampung Dada Kering, di sini. – PAHANGMEDIA