YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika hadir pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang di Kompleks Dagangan Mahkota, hari ini.

PKNP LUNAS HUTANG CIMB RM200 JUTA

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 25 MEI 2022 : Pelunasan sepenuhnya hutang oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) kepada CIMB Islamic Bank Berhad membuktikan kemampuan kewangan GLC berkenaan berada pada tahap terbaik.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ucapan tahniah ditujukan kepada pihak pengurusan serta barisan Ahli Lembaga Pengarah PKNP di atas pencapaian ini.

“Pada hari ini saya ingin menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih saya kepada PKNP. Saya selaku Pengerusi PKNP sangat berbangga kerana PKNP berjaya melunaskan hutangnya dengan CIMB sebanyak RM200 juta yang dipinjam sejak tahun 2012.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika hadir pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang di Kompleks Dagangan Mahkota, hari ini.

“Dengan pelunasan hutang baki hutang sebanyak RM30 juta hari ini maka tiada lagi hutang dengan CIMB. Ini adalah usaha PKNP untuk menghapuskan hutang-hutang yang sepatutnya boleh dihapuskan lebih awal lagi, terima kasih CIMB kerana memberi sedikit tempoh bagi penyelesaian hutang sepenuhnya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang di Kompleks Dagangan Mahkota, hari ini.

Dalam sebuah majlis ringkas di Wisma Sri Pahang pagi tadi, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy telah bersetuju untuk membuat penyerahan bayaran pinjaman oleh PKNP kepada CIMB Islamic Bank Berhad.

Beliau menyerahkan replika cek berjumlah RM30 juta, kepada Pengarah Urusan dan Ketua Kumpulan Sektor Awam CIMB, Encik Zainul Tan Sri Zain Hashim sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Dato Mohd Faizal Jaafar dan Timbalannya, Datin Hajah Noraskin Jamaludin. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram