Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
TEMERLOH, 21 MEI 2022 : Penerima geran hakmilik Skim Tanah Rakyat (STR) dan Surat Kelulusan Tanah Kelompok (Notis 5A) disifatkan sebagai bernasib baik.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini kerana bukan semua orang yang melakukan permohonan dapat diluluskan pemberian oleh Kerajaan Negeri.
“Hari ini kita ada dua program iaitu Skim Tanah Rakyat (STR) Warisan Kemuning di Kampung Teris seramai 114 orang, dan di Kampung Desa Bakti, 89 orang ini tapak rumah yang kita bagi Notis 5A. Tapak rumah ini keluasan 502 meter persegi, dan yang kita bagi geran tanah itu, 3 ekar.

“Saya berharap mereka dapat menjaga tanah ini dengan baik, bayar cukai tanah dan jangan juallah, usahakan tanah ini dengan sebaik mungkin. Bukan semua orang dapat, dan bernasib baik seperti mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Geran Hakmilik Skim Tanah Rakyat (STR) Warisan Kemuning dan Surat Kelulusan Tanah Kelompok (Notis 5A) kepada 203 penerima di daerah ini di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Lanchang.
Turut hadir, Ahli DN Lanchang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin; Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Jenderak, YB. Dato’ Sri Haji Mohamed Haji Jaafar; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; ADN Kuala Semantan, YB. Dato’ Haji Nor Azmi Mat Ludin; dan Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin.
Beliau turut meminta kesemua penerima untuk menjaga tanah yang diterima ini sebaik mungkin kerana proses untuk mendapatkannya bukanlah satu proses yang mudah.
“Saya harap supaya tuan-tuan jaga tanah ini elok-elok, nak ada tanah ini bukan mudah. Tanah ini terhad, makin lama makin kecil,” katanya. -PAHANGMEDIA