Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Ybhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari ketika melawat Rumah Pam Kobat di Kuantan, semalam.

RUMAH PAM KOBAT TAMBAH BEKALAN AIR DI KUANTAN

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 17 MEI 2022 : Usaha Kerajaan Negeri Pahang dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam menstabilkan bekalan air di Kuantan terutama di tempat-tempat kritikal seperti di kawasan-kawasan industri diteruskan dengan usaha mengoptimakan operasi pam yang ada di Rumah Pam Kobat.

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Ybhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, kerja-kerja berkenaan telah mula dilaksanakan dan bermula kelmarin dua buah Rumah Pam Kobat beroperasi sepenuhnya.

“Bermula kelmarin PAIP dapat revive kedua-dua buah Rumah Pam Kobat, sebelum ini hanya dua pam yang beroperasi di rumah pam fasa baru tapi kali ini kita revive balik ketiga-tiga pam dan ia beroperasi sepenuhnya bermula pada pukul 6.30 pagi.

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Ybhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari

“Kita dapat naikkan aliran air kira-kira 1,200 meter kiub sejam, kita harap dengan kenaikan kadar aliran air ini kita dapat stabilkan tangki-tangki kita bukan sahaja di kuantan tetapi di kawasan Gebeng.

“Ini adalah usaha dalam tempoh singkat, akan datang pada bulan Ogos kita jangka pam di Rumah Pam Kobat Fasa Satu akan ditukar baru untuk perkhidmatan yang lebih efisyen, menaikkan lebih aliran air dan saya bangga dan bersyukur tiga pam di fasa dua ini kini dapat bekalkan 20 juta liter air tambahan sehari untuk supply ke seluruh daerah Kuantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas melawat Rumah Pam Kobat di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Ybhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari ketika melawat Rumah Pam Kobat di Kuantan, semalam.

Dalam pada itu beliau berkata, keperluan semasa seperti pembangunan di Bandaraya Kuantan seiring dengan banyak pelaburan di Gebeng menuntut PAIP untuk berusaha menyediakan perkhidmatan bekalan air yang mencukupi, efisyen dan lancar.

“Jadi kita perlu revive semula rumah pam yang ada dengan memastikan semua pam yang ada dapat beroperasi. Pada Ogos nanti kita akan dapat pam baru di Rumah Pam Kobat Fasa Satu, beri kami sedikit masa untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada semua pengguna,” katanya.

Rumah Pam Kobat Fasa Lama beroperasi pada tahun 1988 manakala Rumah Pam Kobat Fasa Baru beroperasi pada tahun 2013. Terdapat sepuluh buah pam untuk Loji Rawatan Air Semambu dengan sembilan buah beroperasi iaitu tiga pam di Rumah Pam Kobat Fasa Baru dan enam pam di Rumah Pam Kobat Fasa Lama. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram