KUANTAN, 14 MEI 2022: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar Kerajaan Pahang bekerjasama dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) supaya menyegerakan pelaksanaan kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai yang menjadi punca utama berlakunya banjir kilat di Janda Baik, Bentong pada pagi 11 Mei 2022.
Baginda Tuanku bertitah agar disegerakan pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di Bentong, termasuklah pembinaan Stesen Telemetri dan Stesen Amaran Banjir di huluan kawasan Janda Baik.
“Saya telah menziarahi mangsa banjir di kawasan Janda Baik pada 13 Mei 2022. Selain menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir, saya juga melawat kawasan banjir dan mendengar persembahan taklimat tentang tindakan susulan segera tebatan banjir bagi mengurangkan risiko banjir.
“Saya mengambil maklum bahawa hujan lebat luar biasa pada 11 Mei 2022, dengan kelebatan 87.5 mm selama tiga jam bermula pada jam 4.00 pagi di Bentong, Pahang telah mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan seperti di Kampung Janda Baik, Kampung Sum-Sum, Kampung Cheringin, Kampung Chemperoh, dan Kampung Lampin,” titah baginda menerusi kenyataan media, hari ini.
Baginda bertitah, Negeri Pahang telah dilanda banjir sebanyak dua kali pada tahun 2021 iaitu pada awal dan akhir tahun dan beberapa siri kejadian banjir kilat juga telah berlaku disebabkan hujan yang amat lebat.
Titah baginda, kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai ini juga perlu dilakukan bukan sahaja di kawasan Janda Baik malah di semua sungai dan saliran yang telah cetek dan banyak mendapan di seluruh negeri akibat kejadian banjir tersebut.
“Saya bertitah agar pelaksanaan kerja-kerja pembersihan semua sungai dan saliran tersebut mesti dilaksanakan segera oleh Kerajaan saya dan Kerajaan Persekutuan sebelum negara memasuki musim Monsun Timur Laut pada hujung tahun ini,” titah baginda.-PAHANGMEDIA