Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 14 MEI 2022 : Pahang mencatatkan enam kali ganda peningkatan kes penyakit Tangan, Kaki dan Mulut atau Hand, Foot And Mouth Disease (HFMD) sehingga kelmarin.
Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes yang dicatatkan sepanjang tahun lepas adalah sebanyak 200 kes berbanding 1288 kes bagi tempoh sama.

“Daripada keseluruhan kes, sebanyak 138 kes atau 10.7 peratus adalah kes yang dikenalpasti hasil dari penularan yang berlaku di 27 buah taska, tadika dan pra sekolah, manakala 1150 kes atau 89.3 peratus kes berlaku secara sporadik,” katanya dalam satu kenyataan rasmi berkaitan penularan penyakit berkenaan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dan tiada rawatan khusus atau rawatan alternatif untuk merawat jangkitan HFMD.
Menurutnya, rawatan diberikan hanya untuk mengurangkan gejala yang dialami pesakit contohnya seperti jika pesakit demam, antipyretic yang akan diberikan.
“Saya ingin menasihatkan pesakit agar minum banyak air kosong untuk mengelakkan dehidrasi sepanjang tempoh jangkitan selain mendapatkan rehat secukupnya serta amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang.
“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang juga ingin menasihatkan ibu bapa agar tidak terpedaya dengan promosi rawatan alternatif bagi menyembuhkan HFMD,” katanya.
Tegasnya, nasihat yang sahih hanya boleh diperoleh daripada pegawai perubatan dan anggota kesihatan.
Sementara itu beliau mendedahkan bahawa kes berkenaan masih menunjukkan trend meningkat berdasarkan pemantauan yang dilakukan oleh JKNP pada minggu ini.
Beliau turut berharap agar ibu bapa, penjaga mahupun pengusaha taska, tadika atau pra sekolah mengambil langkah-langkah pencegahan terutamanya aspek penjagaan kebersihan dalam pengurusan kanak-kanak. -PAHANGMEDIA