KUANTAN, 13 MEI 2022: Berikutan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa Zayed Al-Nahyan meninggal dunia pada hari ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitahkan agar bendera Negeri Pahang hendaklah dikibarkan separuh tiang selama lima hari berturut-turut di semua premis kerajaan Negeri dan Persekutuan di Negeri Pahang.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak menerusi satu kenyataan hari ini berkata, semua masjid di Pahang hendaklah mengadakan bacaan Surah Yassin selepas solat Maghrib selama tiga hari juga bermula esok.
Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Yang Mulia Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Abu Dhabi, yang telah kembali ke Rahmatullah hari ini.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Almarhum dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Almarhum sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.
Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
Susulan daripada berita kemangkatan Almarhum, Seri Paduka Baginda telah menghubungi Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Putera Mahkota Abu Dhabi, menerusi panggilan telefon untuk menzahirkan ucapan takziah secara peribadi kepada beliau dan seluruh keluarga.
Seri Paduka Baginda dan Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan adalah rakan kolej di Akademi Tentera Diraja Sandhurst pada tahun 1978 dan 1979, dan persahabatan akrab kedua-dua pemimpin kekal hingga sekarang.
Atas jemputan peribadi Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Abu Dhabi, UAE pada hari Ahad (15 Mei 2022) untuk bersama-sama Ketua-ketua Negara dan Kerajaan lain untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.
Istiadat Penghormatan Terakhir Almarhum Sheikh Khalifa bin Zayed Al-Nahyan dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula esok (14 Mei) hingga 16 Mei 2022.-PAHANGMEDIA