Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
RAUB, 13 MEI 2022 : “Tak sangka dapat rumah cantik macam ini, rumah dulu pun rumah tak elok, rumah buluh je,” ujar Encik Ab Holik Hasan penerima rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Kampung Ulu Sungai, hari ini.
Encik Ab Holik, 60, berkata rumah kurniaan Yang Di-Pertuan Agong ini amat diperlukan selepas rumah yang didiaminya dan keluarga sebelum ini musnah sepenuhnya akibat banjir besar tahun lepas.

“Syukur Alhamdulillah rezeki (rumah ini). Saya pun tak minta tapi daripada orang atas di cerita saya dapat bantuan ini.
“Banjir hari tu habis musnah, rumah saya tenggelam air. Lepas itu saya buat pondok dekat belakang rumah ini (rumah YASA) daripada bulan 7 duduk dekat situ,” katanya yang tinggal bersama isteri, anak lelaki dan seorang cucu.
Dia yang bekerja kampung ini juga melahirkan perasaan lega dengan struktur binaan rumah kurniaan yang tinggi ini terutamanya apabila banjir melanda.
“Legalah sikit rumah ini tinggi, tak adalah selalu berpindah. Rumah pun selesa sebab duduk sini pun tak ramai.
“Barang-barang kelengkapan rumah ini juga kurniaan daripada Tuanku, semalam hantar. Terima kasih banyak-banyak atas kurnia Tuanku,” katanya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengurniakan replika kunci rumah kepada Encik Ab Holik semasa Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kuruniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Kampung Ulu Sungai, hari ini.
Turut mencemar duli, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tiba bersama baginda.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Talam, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; ADN Dong, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab. Moin; Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail; Ketua Polis Pahang, YDH CP Datuk Ramli Mohamed Yoosuf; dan Ketua Polis Daerah Raub, Supt. Kama Azural Mohamed.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada orang kampung sebelum meninjau rumah yang berkeluasan 660 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan tiga bilik air selain tangga di hadapan dan belakang rumah dengan kos RM100,000 sebuah yang dilengkapi perabot dan set bilik tidur.
Baginda sebelum itu turut berkenan menyampaikan kurniaan rumah YASA ini di Kampung Lechar, Kampung Temau, Kampung Sungai Sia, sebelum berangkat ke Kampung Ulu Sungai.
Sementara itu, seorang lagi penerima rumah YASA, Encik Shaharim Ahmad Amiruddin dari Kampung Tanjung Putus melahirkan rasa syukur dengan kurniaan rumah baharu ini.
“Rumah lama tu tak boleh nak duduk dah. Dia teralih pada tapak, lepas itu bahagian dalam dia dah roboh separuh, lantai pun dah habis.
“Saya nak buat baru kos tinggi, tapi Alhamdulillah ada bantuan daripada Tuanku. Kediaman ini sangat selesa untuk kami anak beranak tinggal dan saya amat menghargai dan tidak akan melupakan jasa baginda berdua,” katanya. -PAHANGMEDIA