Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad bersama penduduk kampung di Janda Baik yang terkesan selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat pada pagi 11 Mei lalu.

KERAJAAN PAHANG SUMBANG RM80,000 MANGSA BANJIR DI JANDA BAIK

Oleh : Fansurina Abdullah

BENTONG, 13 MEI 2022 : Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang menyalurkan bantuan berjumlah RM80,000 kepada 160 mangsa banjir di Kampung Janda Baik, di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bantuan tersebut diberikan segera selepas YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersetuju meski pun beliau kini berada dalam lawatan kerja di United Kingdom sekali gus membuktikan keprihatinannya terhadap kebajikan rakyat di Pahang khususnya apabila ditimpa bencana.

“Syukur ke hadrat Illahi apa yang dihasratkan oleh YAB Menteri Besar Pahang terhadap apa yang berlaku di Kampung Janda Baik supaya semua agensi kerajaan digerakkan untuk membantu mangsa banjir, maka hari ini menjadi kenyataan.

“Pelbagai agensi di bawah Kerajaan Pahang turut terlibat sama ada Yayasan Pahang, Kewangan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) dan UMNO Pahang dan Majlis Tindakan Sosial Pahagng (MTSP),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyampaikan bantuan RM500 kepada setiap mangsa yang terlibat dengan kejadian banjir di Kampung Janda Baik, Bentong pada 11 Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri kepada mangsa banjir kilat di Janda Baik Bentong.

Seorang magsa, Puan Rahamah Yaakob, 78, berkata, beliau telah menetap di Kampung Janda Baik hampir 10 tahun dan banjir kali ini benar-benar mengejutkan semua pihak.

Puan Rahamad turut menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak terutamanya Kerajaan Pahang yang telah memberikan sumbangan selain agensi-agensi lain yang turut membantu dia dan penduduk kampung lain.

“Terima kasihlah kepada yang bagi, membantu kepada saya kerana saya kena banjir ni, terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Pada 11 Mei lalu, penduduk di Kampung Janda Baik dikejutkan dengan kejadian banjir kilat yang menenggelamkan kampung berkenaan kira-kira jam 5.30 pagi susulan hujan lebat selama dua jam.

Kejadian banjir kali kedua pada tahun ini telah menjejaskan beberapa kampung di kawasan pelancongan popular itu termasuklah Kampung Janda Baik, Kampung Cherengin, Kampung Sum Sum dan Kampung Chemperuh. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram