KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in berkenaan menyampaikan replika kunci rumah Yayasan Al-Sultan Abdullah kepada seorang penerima di Raub, hari ini.

KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG INGATKAN PENERIMA RUMAH YASA TIDAK JUAL RUMAH KEPADA PIHAK LAIN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

RAUB, 13 MEI 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengingatkan penerima rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) supaya tidak menjual rumah tersebut kepada pihak lain.

Baginda bertitah pemilik rumah kuniaan YASA juga perlu mematuhi prasyarat yang telah ditetapkan terlebih dahulu selain mendapat kebenaran pegawai daerah sekiranya masih ingin menjualnya.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in dan KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama salah seorang penerima rumah Yayasan Al-Sultan Abdullah di Raub, hari ini.

“Saya tak mahu mereka jual pula rumah ini ya. Sedihlah saya kalau ianya berlaku. Kita pun dah buat satu prasyarat, mesti dapat kebenaran daripada DO (Pegawai Daerah).

“Bukan nak menyusahkan, bukan nak perketatkan, kita nak menjaga kepentingan tuan punya tanah kerana kalau ikut segi hutang memang tak ada, semuanya dibiayai. Hanya tinggal di rumah di sini, duduk baik-baik, jaga anak, jaga mak,”titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyerahkan kunci rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) kepada penerima di Kampung Lechar, di sini hari ini.

Turut mencemar duli, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tiba bersama baginda.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Talam, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; ADN Dong, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab. Moin; Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail; Ketua Polis Pahang, YDH CP Datuk Ramli Mohamed Yoosuf; dan Ketua Polis Daerah Raub, Supt. Kama Azural Mohamed.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menyantuni penduduk kampung pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah di Raub hari ini.

Baginda dalam titah turut mengingatkan para pemaju supaya meminimakan keuntungan dan memastikan spesifikasi rumah yang dibina dapat dipatuhi sepenuhnya.

“Saya mahu kontraktor buat yang terbaik, anggap ini khidmat untuk masyarakat. Saya tak mahu tuan rumah terpaksa keluarkan duit untuk baiki kerosakan pula,” titah baginda.

Baginda juga turut bertitah bahawa projek rumah YASA akan terus dibina dari masa ke masa supaya lebih ramai rakyat mendapat faedah terutama mangsa banjir.

Dalam pada itu baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada orang kampung sebelum meninjau rumah yang berkeluasan 660 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan tiga bilik air selain tangga di hadapan dan belakang rumah dengan kos RM100,000 sebuah yang dilengkapi perabot dan set bilik tidur.

Baginda sebelum itu turut berkenan menyampaikan kurniaan rumah YASA ini di Kampung Lechar, Kampung Temau, Kampung Sungai Sia, sebelum berangkat ke Kampung Ulu Sungai. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram