KUANTAN, 12 MEI 2022 : Hujan yang terlampau lebat pada awal pagi di kawasan hulu sehingga mengakibatkan berlakunya limpahan air dari sungai berhampiran antara penyebab utama banjir di Janda Baik, semalam.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ianya juga lanjutan daripada keadaan sungai yang telah cetek disebabkan banjir besar pada 17 Disember 2021 lalu.
“Cerapan data stesen hujan di Kampung Janda Baik menunjukkan bahawa taburan hujan awal pagi semalam di kawasan tersebut ialah sebanyak 19.5mm dalam tempoh 3 jam.
“Kadar hujan 19.5mm dalam tempoh 3 jam ini dikategorikan sangat lebat. Kerana taburan normal hujan adalah di bawah 10mm,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya semalam.

Justeru susulan kejadian banjir berkenaan, beliau telah mengarahkan beberapa tindakan dilaksanakan dengan kadar segera khususnya bagi membantu mangsa banjir yang terkesan.
Katanya, sebagai langkah awal, sebanyak 500 pek makanan dan bantuan lain seperti selimut, tuala dan air mineral yang diselaraskan oleh Kerajaan Negeri diagihkan kepada mangsa yang terlibat.
“Saya telah minta pek makanan dan bantuan ini ditambah dari masa ke masa dengan kadar segera. Bagi membantu kerja-kerja pasca banjir termasuk pembersihan rumah, Sukarelawan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) khususnya dari Bentong akan melakukan gerak kerja secepat mungkin.
“Ketika ini Kerajaan Negeri dan agensi yang terlibat sedang memberi tumpuan khusus kepada operasi penyaluran bantuan kepada mangsa banjir.
“Saya berharap agar semua mangsa yang terlibat tabah mendepani ujian ini. Kerajaan Negeri akan membantu semua yang terkesan dengan sehabis baik,” katanya. – PAHANGMEDIA