Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah ketika melawat rumah mangsa kebakaran di FELDA Jengka 9

KERAJAAN PAHANG SETUJU SUMBANG RRP KEPADA MANGSA KEBAKARAN

Oleh : Fansurina Abdullah
 
JERANTUT, 9 MEI 2022 : Kerajaan Pahang telah bersetuju memberikan sumbangan bantuan Rumah Rakyat Pahang (RRP) fasa 3 kepada lima sekeluarga yang terlibat dalam kebakaran di FELDA Jengka 9, pada 4 Mei lalu.
 
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, pemberian RRP tersebut dipersetujui memandangkan keseluruhan rumah mangsa hangus dalam kejadian terbabit.
 
“Kesemua mereka telah ditempatkan sementara ke Dewan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) FELDA kerana tiada tempat berteduh selepas keseluruhan rumah musnah dalam kebakaran.
 
“Pihak FELDA juga membuat kutipan tabung sumbangan bencana bagi meringankan bebanan mangsa sekeluarga,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.
 
Mangsa kebakaran, Encik Muhamad Shah Ahmad Ghazali, 43, dan isterinya, Puan Marina Jemari, 40, bersama tiga anak mereka, Nur Aina Amani Muhamad Shah, 13, Nur Eshal Safiya Muhamad Shah, 10, dan Yusuf Qayyum Muhamad Shah, 5, sebelum ini menumpang sementara di rumah jiran mereka selepas kejadian.
 
“Pihak kerajaan akan menyegerakan pembinaan RRP bagi membolehkan mereka mendapat rumah yang selesa dan selamat dalam waktu terdekat ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram