Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 26 APRIL 2022 : Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memeterai perjanjian tambahan bagi menguatkuasakan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang.
Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari dalam satu kenyataan media berkata perjanjian tambahan ini adalah lanjutan daripada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmata Air Negeri Pahang yang ditandatangani pada 23 Disember 2020.
“PAIP akan dapat menambah baik kecekapan serta kualiti perkhidmatan air kepada pengguna dengan beberapa fokus utama. Fokus utama yang diberi perhatian dalam usaha ini ialah menambah rizab kapasiti pengeluaran dengan membina beberapa loji rawatan air yang baharu, menaik taraf loji sedia ada, dan menggantikan paip lama dan usang seterusnya mengurangkan kadar ‘Non Revenue Water’ (NRW).

“Tambahan lagi pembinaan sistem bekalan air yang baharu juga akan dilaksanakan merangkumi pembinaan tangki agihan, pemasangan paip dan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E). Ia seiring dengan objektif untuk meningkatkan kapasiti bekalan dan juga tekanan air kepada pengguna,” katanya.
Menurut beliau lagi, berdasarkan perjanjian ini juga pihak PAIP akan mendapat akses kepada kemudahan pinjaman Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi pembangunan aset-aset air di Negeri Pahang.
“…berdasarkan pendekatan ‘build and lease’ pada kadar kompetitif berbanding pembiayaan komersial. Perkara ini membolehkan PAIP memulakan penambahbaikan kecekapan dan peningkatan kualiti perkhidmatan air kepada pengguna,” katanya.
Perjanjian Tambahan ini diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dari Kerajaan Persekutuan; Kerajaan Negeri Pahang diwakili oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’Sri Dr. Sallehuddin Ishak; PAAB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBrs. Encik Abdul Hadi Ali; dan PAIP diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari.
Turut hadir pada perjanjian tambahan yang diadakan di Pejabat Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Putrajaya ini adalah Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Mansor Haji Othman; dan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail. -PAHANGMEDIA