Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali
PEKAN, 25 APRIL 2022 : “Terima kasih kerana tidak lupakan kami Orang Asli untuk Hari Raya Aidilfitri ini,” ujar Puan Nora Salim, wakil penerima Kotak Aidilfitri bagi masyarakat Orang Asli Daerah Pekan.
Puan Nora yang merupakan wakil penduduk Kampung Sena turut melahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Pahang yang menghulurkan sumbangan berkenaan.
“Saya wakil dari Kampung Sena ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang dan Ahli Parlimen Pekan kerana memberi sumbangan kepada Orang Asli tanpa mengira suku kaum, bangsa, dan agama.

“Walaupun dah nak menyambut raya, namun tetap tak lupa pada Orang Asli seperti kami. Terima kasih kepada Dato’ Sri Najib dan YB Dato’ Fakharuddin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Program Agihan Bantuan Prihatin Pahang Kotak Aidilfitri Bagi Masyarakat Orang Asli Daerah Pekan di Dewan Ketapang, Kompleks Sultan Ahmad Shah.
Kotak Aidilfitri berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff sebagai simbolik pengagihan.
Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Mahmud.
Seorang lagi wakil penerima, Encik Roslin Hak dari Kampung Serun turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Pahang diatas pemberian ini.
“Setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, terutama sekali kepada YAB Menteri Besar dan semua kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang. Tidak lupa juga kepada Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Seri Najib kerana perihatin kepada masyarakat Orang Asli sempena Aidilfitri ini.
“Semua orang dapat bantuan bakul makanan untuk Hari Raya (Aidilfitri). Terima kasih juga kepada Exco-exco terutamanya YB DN Bebar, Dato’ Fakharuddin kerana sudi hadir menyampaikan bantuan ini,” katanya.
Sementara itu, menurut YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin, agihan kira-kira 4,000 kotak Aidilfitri ini akan dilakukan di seluruh Parlimen Pekan.
“Program Bantuan Prihatin Pahang (BPP) dimana kotak-kotak kit makanan akan diagihkan kepada seluruh kampung Orang Asli di kawasan Parlimen Pekan.
“Dan hari ini kita akan agihkan kepada seluruh Dewan Negeri (DN) seluruh daerah Pekan dengan keseluruhannya berjumlah lebih kurang 4,000 kit makanan yang akan kita agihkan,” katanya.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Pahang yang disifatkan begitu perihatin dengan kebajikan masyarakat Orang Asli.
“Sesungguhnya bantuan-bantuan sebegini dapat meringankan beban kewangan terutamanya kepada penduduk Orang Asli yang beragama Islam untuk menghadapi Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Semua bantuan ini dapat diberikan memandangkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri yang kukuh dibawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang dan ini membolehkan pelbagai bantuan dapat diberikan kepada seluruh rakyat di negeri Pahang melibatkan peruntukan sebanyak RM30 juta,” katanya. – PAHANGMEDIA