YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Konvokesyen Pertama Program Profesional Pentadbiran Awam Negeri Pahang Darul Makmur di Auditorium Tuanku Canselor UnIPSAS, hari ini.

PAHANG NEGERI PERTAMA ADAKAN PROGRAM PROFESIONAL PERTADBIRAN AWAM

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 25 APRIL 2022 : Pahang menjadi negeri pertama yang mengadakan Program Profesional Pentadbiran Awam bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam di negeri ini.

Program berkenaan yang mendapat kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) merupakan cetusan idea daripada Pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang yang komited untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang berpretasi tinggi, berintegriti dan cekap.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia kemudiannya dibincangkan dan diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri untuk mewujudkan Pusat Latihan Negeri Pahang di UnIPSAS bagi tujuan (menawarkan) kursus ini kepada penjawat awam lantikan baharu.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Program ini sangat baik di mana Kerajaan Negeri bagi peluang kepada mereka yang dah bekerja. Dengan adanya program ini membantu meningkatkan produktivi serta memberi manfaat kepada diri sendiri dan rakyat (dari segi perkhidmatan).

“Program ini terbuka kepada semua (kakitangan Kerajaan Negeri) mengikut syarat yang ditetapkan. Kerajaan Negeri bersama UnIPSAS juga ada perancangan untuk sesiapa yang bekerja, pengalaman kerja itu boleh dipindahkan sebagai kredit untuk program diploma, Ijazah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Pertama Program Profesional Pentadbiran Awam Negeri Pahang Darul Makmur di Auditorium Tuanku Canselor UnIPSAS, hari ini.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak, Naib Canselor UnIPSAS, Ybhg. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin serta YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar.

Seramai 156 orang peserta daripada pelbagai jabatan Negeri Pahang telah mengikuti tiga komponen pengajian iaitu Profesionalisme, Pembangunan Modal Insan dan Pengajian Islam. Jumlah jam keseluruhan pengajian yang perlu dihadiri oleh peserta ialah 90 jam.

Dalam pada itu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, program ini akan diteruskan malah ia penting kerana produktiviti dan nilai tambah dalam penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini perlu bergerak seiring dan berkesinambungan selaras dengan cabaran semasa.

“Harapan saya agar bidang utama seseorang penjawat awam Negeri Pahang seperti bidang ekonomi, pentadbiran awam, pentadbiran tanah dan perancangan bandar dapat dimanfaatkan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada Kerajaan Negeri dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, ia merupakan lapangan yang penting sebagai medan untuk penjawat awam dilatih dan dilengkapkan dengan ilmu dan kemahiran yang sesuai dengan bidang tugas masing-masing di samping memperkasakan kemahiran yang pelbagai seperti komunikasi, kaunseling, pengajian jawi dan lain-lain. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram