Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUALA LUMPUR, 25 APRIL 2022 : Sebanyak RM12.10 juta diperuntukkan oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) bagi pelaksanaan tujuh projek bagi menyelesaikan masalah bekalan air di daerah Jerantut.
Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata setakat ini pihaknya mengenalpasti masalah terputus bekalan air dan tekanan air yang rendah sering berlaku di daerah berkenaan.
“Jadi kita melaksanakan tujuh projek ini dimana pertama di Felda Sungai Retang, kita telah menyiapkan kerja berkaitan rumah pam penggalak baharu di Loji Rawatan Air (LRA) Seberang Tembeling.
“Manakala bagi kawasan Felda Sungai Retang, Air Hitam, Merting, Jong Berlabuh, Labu, Chebong, Pasir Durian, Pasir Tambang, Doja, dan Lubuk Payung, kita telah memasang pam air mentah dan pam bergerak di LRS Seberang Tembeling yang dijangka selesai pada bulan hadapan.
“Bagi pemindahan komponen rawatan dynasand dari LRA Peramu ke LRA Seberang Tembeling dijangka selesai pada November ini, bagi kerja berkaitan tangki balancing LRA Seberang Tembeling ke LRA baharu Sungai Retang akan selesai pada Disember, manakala kerja-kerja di LRA Batu Balai dijangka selesai pada Ogos ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika Taklimat Penambahbaikan Sistem Bekalan Air Daerah Jerantut di Hotel Corus di sini.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengarah Kemeterian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), YH. Dato’ Mohd A.Aruwan Ab Aziz; dan Pegawai Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris.
Menurut beliau lagi, dua daripada tujuh projek berkenaan dijangka diselesaikan pada hujung tahun ini dan tahun hadapan yang mana kini berada di peringkat rekabentuk.
“Yang pertama melibatkan projek di Kuala Tahan yang terjejas disebabkan banjir. Ia dijangka selesai pada Jun 2023.
“Bagi projek di LRA Batu Embun, proses menaiktaraf dan membaiki tangki mendapan yang bocor dijangka selesai pada hujung tahun ini iaitu Disember,” katanya.
Beliau berkata dengan penyelesaian kesemua projek ini akan memberi manfaat kepada 21,121 akaun pengguna yang mendapat bekalan air daripada empat LRA iaitu Batu Balai, Batu Embun, Kuala Tahan, dan Seberang Tembeling. -PAHANGMEDIA