6,500 PEMEGANG AKAUN PAIP PEKAN AKAN DAPAT BEKALAN AIR BERTERUSAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 24 April 2022 : Kira-kira 6,500 pemegang akaun Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) di Pekan akan mendapat bekalan air yang berterusan melalui penaiktarafan rumah pam Tangki Pekan Lama bernilai RM12 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata sebahagian kawasan Pekan meliputi 6,500 akaun pengguna ini menghadapi masalah terputus bekalan air ketika waktu puncak disebabkan tekanan air yang rendah.

“Projek yang akan dijalankan selama 18 bulan ini akan melibatkan laluan sepanjang tebing Sungai Miang sehingga Pekan Lama.

“Kita akan melakukan proses merekabentuk, membina, membekal, memasang, menguji dan menauliah paip air dari tangki Tanjung Agas ke tangki Pekan Lama, serta tangki sedutan dan rumah pam di Tangki Pekan Lama bagi sistem bekalan air di bandar Pekan.

“Projek ini akan melibatkan kerja-kerja pemasangan paip Mild Steel Cement Lining (MSCL) bersaiz 500mm diameter sepanjang 12.5 kilometer di laluan tebing Sungai Miang dari Tangki Tanjung Agas sehingga ke Tangki Pekan Lama,” katanya.

Menurut beliau lagi, setakat ini pihaknya tleah melakukan lawatan tapak ke empat lokasi berkaitan iaitu ke tapak cadangan projek Tanjung Agas, backbone Pekan Lama, Temai, dan Sri Makmur.

Tambah beliau lagi, projek ini dilaksanakan bagi memastikan keseleuruhan kawasan yang mengalami masalah bekalan air dapat diselesaikan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air (IPA) 2006. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram